Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sultan Perak arah langkah pencegahan elak tragedi berulang

Jun 10, 2025 | 11:48 AM
Nahas bas ngeri, 15 pelajar uni korban, Perak
Lebih 3,000 jemaah menghadiri solat jenazah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Masjid Hadhari, Jertih, Terengganu, pada awal pagi 10 Jun, sebelum jenazah dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan. - Foto FACEBOOK MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, menggesa langkah pencegahan dilaksanakan pihak berwajib, menyusuli kerapnya kemalangan jalan raya yang meragut nyawa di Malaysia mutakhir ini.

Sultan Nazrin turut menitahkan supaya kemalangan yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik di Perak, pada awal pagi 9 Jun, dijadikan sebagai pengajaran.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Nazrin, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, dalam satu kenyataan memaklumkan antara langkah pencegahan itu adalah penambahbaikan kelemahan yang ada, terutama daripada sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agar kejadian seperti itu dapat dielakkan daripada berulang.

“Walaupun pada hakikatnya ajal maut ditentukan oleh Ilahi, Sultan Nazrin berpendirian bahawa Allah swt menyeru manusia agar berusaha dan berikhtiar untuk mengelakkan diri daripada ancaman, bencana, bahaya dan malapetaka,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Sultan Nazrin dan isteri, Tuanku Zara Salim, turut hadir di Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Bainun, di Ipoh, Perak, pada 9 Jun untuk menemui waris 15 penuntut UPSI yang terkorban dalam nahas itu.

Sementara itu, deraian air mata menyambut ketibaan konvoi 13 jenazah penuntut UPSI di pekarangan Masjid Hadhari, Jertih, Terengganu, kira-kira 3 pagi 10 Jun.

Ironinya, ia adalah lokasi sama tempat pelajar itu berkumpul sebelum berpisah dengan keluarga pada 9 malam 8 Jun, untuk menaiki bas pulang ke kampus di Tanjung Malim, Perak, demi menuntut ilmu.

Kali ini, mereka sekali lagi berkumpul berselang masa 30 jam, namun untuk menyambut kepulangan insan tersayang ke kampung halaman dan bezanya perpisahan kali ini adalah pemergian abadi.

Dua jenazah terawal tiba daripada Hospital Gerik, Perak di Besut, Terengganu, kira-kira 10.40 malam, 9 Jun.

Semua jenazah selesai dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halaman masing-masing, selepas disolatkan di Masjid Hadhari oleh lebih 3,000 jemaah dan diimamkan Exco Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, kira-kira 3.15 pagi.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, berkata pelajar UPSI yang terkorban dalam nahas ngeri itu boleh dikategorikan sebagai syahid akhirat dan kesimpulan itu berdasarkan pandangan ulama berhubung kematian bukan berpunca daripada kecuaian sendiri.

Dalam pada itu Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) ke atas bas serta syarikat terbabit mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Tindakan tegas akan diambil selepas siasatan selesai. Kami komited melindungi pengguna jalan raya, terutama daripada ancaman pemandu tidak bertanggungjawab serta kenderaan berat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kemalangan jalan raya akan berterusan jika pemandu terus mempamerkan kecuaian dan mengabaikan keselamatan orang lain serta mementingkan diri sendiri.

“Banyak usaha sudah dibuat menerusi pelbagai program pendidikan dan kesedaran jalan raya. Bagaimanapun usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut tidak akan berjaya sekiranya pemandu tidak bersama-sama mematuhi segala undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg