Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakaman ‘dashcam’ tunjuk bas dipandu laju, pemandu dakwa brek tak fungsi

Jun 10, 2025 | 10:33 AM
Tangkap layar video tular bas dilihat dipandu laju dan cuba memotong sebuah kereta sebelum ia terbalik dan melanggar bahagian belakang kereta Perodua Alza.
Tangkap layar video tular bas dilihat dipandu laju dan cuba memotong sebuah kereta sebelum ia terbalik dan melanggar bahagian belakang kereta Perodua Alza. - Foto Tular

IPOH: Pemilik kamera papan pemuka (dashcam) sudah tampil untuk membantu siasatan berhubung nahas bas tragis yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53 (KM53) Lebuhraya Jeli-Gerik pada awal pagi 9 Jun, di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Noordin, berkata kenyataan daripada pemilik ‘dashcam’ itu akan diambil dalam masa terdekat memandangkan rakaman tular itu dijangka menjadi bukti penting dalam menentukan punca sebenar kemalangan.

“Ya, setakat ini rakaman ‘dashcam’ telah diserahkan. Kami serahkan kepada pegawai penyiasat untuk meneliti rakaman tersebut dan kenyataan daripada pemilik akan diambil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun pada petang 9 Jun.

Beliau menambah, rakaman tersebut boleh membantu menjelaskan beberapa perkara penting termasuk kelajuan bas dan keadaan jalan semasa kejadian.

“Setakat ini hanya rakaman ‘dashcam’ yang kita ada. Rakaman itu jelas menunjukkan bagaimana bas tersebut dipandu laju, dan lebih memburukkan keadaan, penghadang jalan menembusi badan bas dari bahagian depan.

“Itulah sebabnya penumpang di sebelah kiri bas adalah antara yang maut, kerana penghadang terus menusuk ke tempat duduk penumpang.

“Kebanyakan mangsa yang cedera mengalami kecederaan di bahu kiri selepas tercampak dari bahagian kanan ke kiri apabila bas terbalik,” katanya, lapor Harian Metro.

Dalam rakaman video selama 38 saat yang tular itu, bas dilihat dipandu laju dan cuba memotong sebuah kereta sebelum ia terbalik dan melanggar bahagian belakang kereta Perodua Alza.

Sementara itu, Encik Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39 tahun, pemandu bas terbabit dalam kemalangan itu memohon maaf.

“Saya minta maaf kepada keluarga mangsa dan pelajar yang terbabit dalam kemalangan pagi semalam (9 Jun), brek bas tidak berfungsi secara tiba-tiba,” katanya ketika dihubungi pada 10 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.

Katanya, bas yang dalam perjalanan dari Terengganu itu awalnya berkeadaan baik sehingga tiba di jambatan lintasan gajah di Gerik.

“Secara tiba-tiba, saya dapati brek bas tidak berfungsi dan (brek) angin bas juga kosong.

“Saya cuba melakukan pelbagai cara, namun disebabkan angin bas kosong, semuanya jadi tidak berfungsi termasuk brek tangan manakala gear juga tidak boleh ditukar.

“Saya cuba mengelak kenderaan lain supaya tidak merempuh mereka dan seingat saya, empat kenderaan saya elak termasuk lori sebelum kejadian.

“Kenderaan terakhir saya potong adalah kereta yang mempunyai ‘dashcam’. Ketika itu saya sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.

“Orang nampak saya memotong dan bawa laju sedangkan sebelum itu saya cuba mengelak daripada melanggar kenderaan lain.

“Oleh sebab nahas berlaku di kawasan selekoh, saya tak mampu berbuat apa-apa,” katanya yang kini dirawat di Hospital Taiping, Perak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg