BALING: Banyak yang bermain di fikiran Encik Mohd Lutfi Radzi, 37 tahun, mengenai kemalangan yang melandanya pada dinihari 9 Jun.
“Saya masih teringat-teringat kejadian yang berlaku pada hari itu, tetapi saya tak mampu komen banyak,” katanya.
Encik Mohd Lutfi adalah pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbabit dalam kemalangan dengan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi 9 Jun lalu.
Ketika kejadian, Encik Mohd Lutfi bersama isterinya, Cik Nurul Ain Zakaria, 36 tahun, serta dua anak mereka, Nur Aisyah Nafishah Mohd Lutfi, enam tahun, dan anak bongsu, Muhammad Ahsan Nafis Mohd Lutfi, dua tahun, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Parit Panjang, selepas menyambut Aidiladha di rumah mentuanya di Terengganu.
Encik Mohd Lutfi setakat ini masih belum bersedia untuk menceritakan sepenuhnya kejadian yang berlaku itu.
“Seorang dari anak tercampak keluar dari kereta...namun saya bersyukur kerana kami semua selamat.
“Yang saya ingat, sebelum kejadian, saya bersembang dengan isteri sebelum kemalangan berlaku,” katanya di Hospital Baling ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada 11 Jun.
Menurutnya, 11 Jun merupakan hari ketiga beliau, isteri serta dua anaknya berada di hospital itu, malah dirinya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang datang mengunjungi dan turut memberi sokongan kepadanya.
Sementara itu, keadaan isteri serta dua anaknya semakin baik dan stabil, namun masih dirawat di Hospital Baling.
Encik Mohd Lutfi adalah guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di Baling manakala isterinya pula guru di SK Tembak.
Sementara itu, Pakar Ortopedik Hospital Baling, Dr Asri Zuzairudin Mohd Ali, berkata anak sulung pasangan suami isteri itu, Nur Aisyah Nafishah, yang patah paha di bahagian kanan perlu menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat ini.
Cik Nurul Ain, isteri kepada Encik Mohd Lutfi pula, patah tulang rusuk tetapi semakin beransur pulih dan memerlukan pemantauan rapi di hospital.
“Keadaan Encik Mohd Lutfi serta anak bongsunya,Muhammad Ahsan Nafis, pula semakin stabil. Kesemua mereka masih dirawat di sini (Hospital Baling),” kata Dr Asri.
Sementara itu, wakil Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah selaku Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Sekolah, Encik Wan Norazman Zainol, berkata pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan pasangan guru terbabit dan akan memastikan segala keperluan mereka mencukupi sepanjang menerima rawatan di hospital.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg