Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas pelajar UPSI: Dua penerima Anugerah Dekan, ‘genius’ Matematik dan pekerja contoh antara yang terkorban

Jun 10, 2025 | 11:56 PM
UPSI, GERIK, NAHAS BAS
Cik Nurul Izzati Mohd Rusli (tengah) bersama rakannya, Cik Nur Syakirah Pakhrolrazi (kanan) dan Cik Nur Hasya Abdul Rahim menunjukkan gambar Cik Sufea Adila Moslihaizan (kiri) dan Cik Nik Amni Nadiah Nor Zabir yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur–Barat, Banun, Gerik, pada awal pagi 9 Jun. - Foto SINAR HARIAN

TANJUNG MALIM: Dua penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur–Barat, Banun, Gerik awal pagi 9 Jun disifatkan sebagai pelajar cemerlang dan penerima Anugerah Dekan.

Mangsa, Cik Sufea Adila Moslihaizan dan Cik Nik Amni Nadiah Nor Zabir, masing-masing berusia 21 tahun yang merupakan rakan baik, maut dalam perjalanan pulang ke UPSI selepas bercuti di kampung halaman sempena sambutan Aidiladha.

Rakan mereka, Cik Nurul Izzati Mohd Rusli, 20 tahun, berkata beliau masih terkejut dengan pemergian dua rakannya itu yang dianggap sebagai contoh pelajar berdedikasi dan sangat komited terhadap pelajaran.

“Amni dan Sufea bukan sahaja cemerlang, malah sangat rajin dan selalu membantu rakan-rakan apabila ada kuiz atau peperiksaan, mereka tidak kedekut ilmu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampus UPSI Sultan Azlan Shah di sini pada 9 Jun.

Menurutnya, Cik Amni juga memegang jawatan sebagai bendahari dalam badan pelajar dan dikenali sebagai seorang yang bertanggungjawab serta komited dalam setiap tugasan.

“Saya rapat dengan Amni dan arwah disenangi ramai. Kalau minta tolong urus kutipan atau kerja persatuan, dialah yang paling pantas bertindak.

“Arwah juga seorang yang pemurah dan tidak pernah berkira, terutama bab makanan,” ujar penuntut tahun dua Fakulti Sains Kemanusiaan itu.

Seorang lagi rakan, Cik Nur Hasya Abdul Rahim, 21, berkata Cik Sufea dan Cik Amni aktif dalam projek keusahawanan universiti dan sempat menjual makanan Korea, ramyeon bagi subjek Budaya Keusahawanan.

“Itulah kali terakhir saya jumpa mereka, ketika membeli makanan yang mereka jual minggu sebelum cuti. Namun tak sangka itu menjadi momen terakhir bersama,” katanya.

Ujarnya, kedua-dua mangsa turut menyertai kelas silat pada penggal lepas dan kali terakhir beliau berjumpa Amni sebelum cuti perayaan.

“Arwah Amni nampak ceria dan sempat menyatakan tak sabar hendak balik Raya. Tak sangka itu kali terakhir kami berbual,” katanya sebak.

Seorang lagi rakan mangsa, Cik Nur Syakirah Pakhrolrazi, 20 tahun, berkata Cik Sufea dan Cik Amni pernah tinggal serumah dengannya pada penggal lalu dan mereka sering bertegur sapa walaupun tidak sebilik.

“Kami rapat juga sebab satu rumah, jadi memang rasa kehilangan sangat. Tak sangka mereka pergi tinggalkan kami buat selamanya,” katanya.

Cik Nur Syakirah berkata kedua-dua mangsa berasal dari Besut, Terengganu dan sudah berkawan rapat sejak zaman persekolahan lagi.

“Saya sempat berjumpa mereka sebelum cuti Aidiladha ketika menghadiri kelas Fiqh Ibadah. Saya nampak tiada perubahan pun, mereka nampak ceria seperti biasa,” tambahnya.

Dalam pada itu, sepupu kepada seorang mangsa kemalangan bas di Jalan Jeli–Gerik, Encik Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd Sofian, 21 tahun, memaklumkan bahawa mereka sepatutnya mengait buah sawit bersama di kebun milik keluarga di Kampung Gong Bayu, Besut, Terengganu pada 7 Jun lalu.

Namun, menurut Encik Mohd Syahmi Rossdi, 28 tahun, sepupunya itu memaklumkan bahawa beliau perlu bertolak pulang ke kampus pada hari tersebut.

“Sepupu saya sedang mengikuti pengajian penggal empat dalam jurusan Matematik dan sering menjadi rujukan saudara-mara untuk menyelesaikan soalan mata pelajaran itu.

“Kami kehilangan seorang genius matematik,” katanya ketika ditemui.

Menurut Encik Mohd Syahmi, Mohammad Aqil juga seorang yang sangat berbakat dan kreatif kerana pernah memenangi pertandingan menghias basikal sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu (2024).

Jelasnya lagi, kali terakhir mereka bertemu ialah semasa sambutan Hari Raya Aidiladha, dan arwah antara yang banyak membantu memotong daging korban.

“Setiap kali dia pulang ke kampung, saya pasti akan bertemu dengannya kerana kami juga berjiran,” katanya.

Berkongsi detik menerima berita duka itu, Encik Mohd Syahmi berkata beliau dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut menerusi kumpulan WhatsApp keluarga sebaik sahaja bangun pagi untuk menunaikan solat Subuh.

“Ahli kumpulan memaklumkan bahawa Mohammad Aqil menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menerima rawatan di Hospital Ipoh,” katanya sebak.

Salah seorang penuntut UPSI yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, pula dikatakan sentiasa menjaga solat ketika bekerja sambilan pada cuti penggal yang lalu.

Allahyarham Fakhrul Arif Rosdi, 20 tahun, atau lebih mesra dengan panggilan Fakhru, adalah seorang yang sangat komited dalam kerjanya dan tidak pernah mengabaikan solat biarpun sibuk.

Pemilik LePort Cafe di Jerteh, Besut, Encik Faizal Abdullah, 33 tahun, yang merupakan majikan Allahyarham, menyifatkan Encik Fakhrul Arif seorang yang memiliki perwatakan baik dan rajin bekerja.

“Allahyarham Fakhru belajar dalam jurusan perakaunan di UPSI dan pernah bekerja dengan saya semasa cuti penggal baru-baru ini.

“Dia seorang yang lemah lembut, baik, dan menjaga tutur kata. Biarpun masih seorang pelajar, dia pandai melayan pelanggan malah rakan-rakan sekerja begitu seronok bekerja dengannya,” katanya kepada Sinar Harian pada 9 Jun.

Encik Faizal berkata Allahyarham diberikan tanggungjawab untuk menjaga kaunter dan melakukan kerjanya dengan baik.

“Ini kali pertama Fakhru bekerja dengan saya kerana cawangan di Besut baru dibuka. Allahyarham antara individu yang terawal bekerja ketika pembukaan cawangan itu.

“Selepas habis waktu kerja, arwah seringkali bertanya kepada saya adakah dia bekerja dengan baik, selain suka belajar benda baru ketika bekerja, arwah sentiasa bertanya tentang perkara yang dia tidak tahu,” ujarnya.

Menurut Encik Faizal lagi, kali terakhir mereka berjumpa adalah pada Hari Raya Aidiladha di kafe miliknya itu.

“Baru dua hari lepas arwah hantar mesej menerusi WhatsApp ucap Selamat Hari Raya dan mengatakan ingin bekerja lagi pada cuti penggal depan.

“Saya jemput dia ke kafe sebab mahu beri cenderahati Raya kepada arwah termasuk kepada semua pekerja saya. Masa jumpa hari itu, dia ada tanya saya nak ambil dia lagi tak kerja sambilan masa cuti nanti, sama ada di Besut atau cawangan di Shah Alam,” katanya.

Encik Faizal turut mendoakan agar arwah dan mangsa lain ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

“Doakan semua mangsa ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan permudahkan rombongan yang saya sertai untuk membawa pulang kesemua jenazah mangsa ke kampung halaman masing-masing,” katanya yang menyertai misi bantuan ke Gerik dan Ipoh bagi membawa pulang mangsa kemalangan maut itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg