TAMBUN: Soalan anak bongsu Sarjan Mohd Roslan Abdul Rahim, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), yang terkorban dalam nahas ngeri di Teluk Intan, pada 14 Mei lalu, meruntun hati isteri Allahyarham, Cik Nur Aini Samiun, 44 tahun.
“Kenapa lori itu langgar ayah sampai mati?” tanya si anak, Nur Aqeela Rawida, enam tahun.
Menurut Cik Nur Aini kepada laman Sinar Harian, pemergian arwah memberi kesan kepada ketiga-tiga anaknya, terutama Nur Aqeela Rawida.
“Nur Aqeela Rawida sering menangis dalam tidur kerana terlalu rindukan ayahnya, kadang dia sering bertanya siapa yang akan bermain masak-masak dengannya.
“Meskipun sudah beberapa hari berlalu, sekali sekala anak-anak akan bertanyakan ayah mereka dan bagi menenangkan rasa rindu itu, saya peluk mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kinding Raya, pada 19 Mei.
Terdahulu, ibu kepada tiga anak itu menerima kunjungan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datin Seri Norliza Abdul Rahim, menerusi Program Ziarah Kasih PTPTN.
Dalam kunjungan itu, Datin Seri Norliza menyampaikan sumbangan berjumlah RM193,000 ($58,435) kepada Cik Nur Aini, merangkumi manfaat caruman melalui Simpan SSPN Prime dan SSPN PLUS selain perlindungan takaful dan khairat kematian.
Tambah Cik Nur Aini, beliau perlu kuat semangat, berikutan anak-anak memerlukan perhatian terutama anak sulung, Muhd Raqin Najmi, 13 tahun, yang menghidap Sindrom Down dan Muhd Riqzi Nazhan, sembilan tahun, yang mengalami ekzema.
“Saya kian okey, cuma mengingatkan arwah memang sedihlah tetapi saya kena kuat demi anak-anak. Menangis air mata berdarah sekali pun, arwah tidak akan kembali.
“Arwah banyak menguruskan hal rumah tangga terutama bab kewangan sebelum ini, kali ini saya perlu ambil alih tugasnya itu,” katanya.
Ditanya mengenai hasrat majikan kepada pemandu lori yang mahu memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa, Cik Nur Aini memaklumkan bahawa beliau belum memikirkan perkara itu.
“Syarikat hendak minta maaf tetapi dia sendiri tidak prihatin dengan pemandunya.
“Sekarang ini buntu, saya tidak fikir lagi sebab banyak perkara perlu diuruskan terutama anak-anak saya,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg