TELUK INTAN: Masih tiada pihak tampil membayar jaminan untuk pemandu lori yang didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), setakat hari ini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Timbalan Komisioner Zulkafli Sariaat, berkata sehubungan itu, pemandu berkenaan, Rudi Zulkarnain Md Radi, 45 tahun, akan terus ditempatkan di lokap Batu Gajah hingga tarikh sebutan semula kes ditetapkan mahkamah iaitu pada 17 Jun depan.
“Jaminan kepada pemandu lori sebanyak RM6,000 ($1,820.42) dan beliau tidak dapat bayar, kita juga tidak menerima sebarang bayaran daripada pihak lain setakat ini,” katanya ketika ditemui agensi berita ketika hadir ke Hospital Teluk Intan (HTI), pada 18 Mei.
Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat melawat dan menyantuni anggota FRU yang dirawat di HTI akibat kemalangan pada 14 Mei.
Pada 17 Mei pula, Mahkamah Majistret Teluk Intan menetapkan jaminan RM6,000 terhadap pemandu lori tersebut selepas dia dituduh memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU berkenaan.
Tertuduh, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan berkenaan.
Media, pada 18 Mei, melaporkan terdapat netizen di media sosial berhasrat membayarkan wang jaminan terbabit.
Dalam pada itu, Encik Zulkafli berkata saksi yang mendakwa melihat pemandu lori cuba mengelak sebuah kenderaan di lokasi kejadian masih belum tampil bagi membantu siasatan.
“Sekiranya ada, pihak polis akan meneruskan siasatan susulan bagi tujuan perbicaraan,” katanya.
Beliau berkata setakat ini seramai 16 saksi telah dipanggil untuk diambil keterangan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg