IPOH: Ketika Malaysia meratapi kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam nahas di Teluk Intan pada 14 Mei, Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, pula berperang dengan emosi sendiri apabila kini dibelenggu rasa bersalah.
Menurut Berita Harian Malaysia (BHM), Mohd Harrisul adalah pemandu trak yang membawa 18 anggota FRU Unit 5, ketika kenderaan itu terbabit dengan kemalangan bersama lori yang membawa muatan batu, lantas meragut nyawa rakan sepasukannya.
Sebelum ini, maklumat awal memaklumkan pemandu trak FRU itu antara yang turut terkorban. Namun maklumat itu diperbetulkan semula selepas semakan lanjut dibuat.
Isteri Mohd Harrisul, Cik Nor Ain Ahmad Hesam, 36 tahun, mengakui suaminya itu sering menyalahkan dirinya atas kejadian itu.
Suaminya itu kini dirawat di Hospital Teluk Intan dan baru sedar sepenuhnya, sebelum mengetahui sembilan rakannya terkorban dalam kemalangan terbabit.
“Dia kata dia rasa bersalah. Saya pujuk dia supaya tidak salahkan diri. Dia juga minta maaf kepada rakan-rakannya.
“Semalam, dia buat panggilan video kepada Nizam (Koperal Nizam Tarmizi) dan minta maaf. Dia juga jumpa Zulnaidi (Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli) dan minta maaf secara bersemuka,” katanya.
Cik Nor Ain berkata walaupun sedih, suaminya menerima sokongan padu daripada rakan setugas.
“Tiada seorang pun yang salahkan dia. Ramai rakan hubungi dan beri sokongan moral. Mereka faham situasi sebenar dan minta dia jangan tanggung rasa bersalah itu seorang diri,” katanya sambil menambah suaminya sudah berkhidmat dalam pasukan polis selama lebih 11 tahun.
Menurut Cik Nor Ain, nahas itu menyebabkan suaminya mengalami kecederaan pada kepala dan beberapa tulang rusuk patah.
“Alhamdulillah, dia sudah sedar. Dia boleh berjalan ke tandas sendiri sekarang. Dia tak ingat langsung apa yang berlaku ketika kemalangan, hanya sedar-sedar sudah berada di hospital,” katanya.
Mengimbas detik menerima berita mengenai kejadian itu, Cik Nor Ain berkata jantungnya seakan terhenti.
“Hati saya hampir luruh. Saya terus berdoa supaya tiada perkara buruk berlaku padanya. Saya terpaksa hubungi ramai orang, berusaha sebaik mungkin untuk tahu sama ada suami saya masih hidup atau tidak,” katanya lagi.
Cik Nor Ain berkata anak tunggal mereka, Eusuff Anaqi, empat tahun, turut terkesan dengan perpisahan itu selepas dihantar seketika ke Kuala Kangsar untuk tinggal bersama keluarganya.
“Kami selalu buat panggilan video. Dia merengek sebab tak pernah berpisah lama dengan Mama dan ‘Daddy’ dia,” katanya.
Sebelum ini, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa batu kira-kira 8.50 pagi.
Lapan anggota maut di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. Sembilan lagi cedera.
Kenderaan FRU itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena sambutan perayaan Chitrapournami sebelum dilanggar lori tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg