TELUK INTAN (Perak): Pemandu lori muatan batu yang memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada 13 Mei lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan, Perak, pada 16 Mei.
Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas sembilan tuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norhamizah Shaiffuddin yang bertindak sebagai Majistret.
Mengikut tuduhan, Rudi Zulkarnain yang masih bujang didakwa telah memandu lori secara berbahaya hingga menyebabkan kematian kepada sembilan anggota polis FRU, di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di daerah Hilir Perak pada 9 pagi, 13 Mei.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 ($6,063) dan maksimum RM50,000.
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang dan mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak lebih lima tahun daripada tarikh sabitan, jika disabit kesalahan, lapor Kosmo!.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi semua tuduhan berserta syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Jun depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg