JERANTUT: Seorang bapa hanya mampu mengeluh, “Semua anak tempat berkongsi suka duka. Susah senang kami bincang bersama, kini semua pergi serentak.”
Encik Aziz Jaafar, 50 tahun, bapa kepada empat anak termasuk menantu yang maut dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Jerantut - Maran, berkata kehilangan semua anak dan menantu adalah tamparan hebat buatnya sekeluarga namun beliau reda dengan ketentuan Ilahi.
Dalam kejadian pada 7 Jun, Encik Mohamad Ikmal Ishak, 26 tahun dan isterinya, Cik Nur Arfiqah Aziz, 23 tahun, dan adiknya, Cik Nur Arfiqah, Mohammad Zulkifli, 21 tahun; Encik Mohamad Azizul Hakimi, 19 tahun serta Nurul Hazwani, 17 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Encik Aziz berkata keempat-empat anaknya bersama menantu sangat teruja dan gembira untuk pergi beraya ke Jerantut kerana itulah kali pertama mereka menjejakkan kaki ke Kampung Paya Gunung, Jerantut.
“Mereka memang suka bergurau dan berseloroh semasa sendiri, sehari sebelum bertolak, mereka sempat membeli makanan ringan di kedai dua ringgit, konon sebab nak berjalan jauh dan bimbang lapar.
“Sebelum kejadian, saya sempat menerima video terakhir daripada anak ketiga, menunjukkan Zul (anak ketiga), muntah akibat mengikut jalan yang bengkang-bengkok, kami turut tergelak tengok video itu, tak sangka itu video terakhir… lepas tu terus senyap,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) di Unit Forensik Hospital Jerantut, pada 7 Jun.
Beliau kemudian mula risau apabila panggilan kepada anak kedua, ketiga dan keempat tidak dijawab sejak 11 malam.
“Mereka sepatutnya tiba di Jerantut sekitar 2 pagi, setelah bertolak dari rumah di Bota pada 5 petang.
“Saya cuba hubungi mereka beberapa kali tapi tiada jawapan, mula rasa tak sedap hati,” katanya.
Encik Aziz kemudian dimaklumkan oleh kakak iparnya yang tiba di Kampung Paya Gunung lebih awal dengan kereta lain dan memaklumkan kejadian itu.
“Mereka cakap anak-anaknya terbabit kemalangan, setengah jam kemudian, barulah mereka maklum semua sudah tiada,” katanya.
Semua lima jenazah dibawa dengan lima van jenazah ke Kampung Padang Kunchor, Bota pada 7.30 malam 7 Jun untuk dikebumikan.
Ibu anak-anak ini, Cik Zaini Noh, 52 tahun, pula berkata beliau pada mulanya menegah anak-anak dan menantu melakukan perjalanan ke Jerantut memandangkan dirinya tidak dapat ikut sekali akibat uzur kerana menghidap strok ringan.
Bagaimanapun, beliau berkata, Cik Nur Arfiqah begitu beria-ia mahu ke rumah bapa saudara mereka untuk menghadiri kenduri korban sempena Aidiladha, selepas kali terakhir Cik Zaini mengunjungi rumah abangnya itu 21 tahun lalu pada 2004.
“Mereka bergerak ke Pahang sekitar 5 petang semalam (6 Jun) untuk pergi ke rumah abang saya di Jerantut kerana abang hendak buat korban.
“Ini juga adalah kali pertama mereka hendak ke sana selepas sekian lama, memandangkan pakcik mereka mengajak kerana mengadakan kenduri. Saya tidak pergi sebab tidak sihat.
“Saya cakap dengan dia (Nur Arfiqah) yang kalau mak (Zaini) tidak pergi, maka tidak payahlah pergi. Namun, dia cakap hendak pergi juga sedangkan banyak kali saya melarang agar jangan pergi tanpa saya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah beliau di Kampung Padang Kunchor, Bota, pada 7 Jun.
Ibu kepada enam anak itu berkata beliau bagaimanapun reda dengan pemergian empat anaknya sekali gus pada malam Raya dan kini hanya tinggal anak sulung lelaki serta anak bongsu perempuan.
“Pada awalnya, jiran cuma memberitahu saya yang anak terbabit kemalangan dan selepas beberapa jam, barulah saya dimaklumkan bahawa mereka telah meninggal dunia,” katanya.
Cik Zaini berkata anak bongsu berusia 12 tahun terselamat kerana menyertai rombongan saudara-mara menaiki dua kereta ke Jerantut sehari lebih awal pada Khamis lalu (5 Jun), manakala anak sulungnya yang sudah berkeluarga pula tidak ikut sekali.
Katanya, kali terakhir beliau berjumpa anak-anak yang terkorban ialah pada Selasa lalu (3 Jun) ketika Cik Nur Arfiqah datang ke rumahnya bagi mengambil adik-adik untuk berkumpul di Ipoh sebelum bergerak ke Jerantut.
Menceritakan lebih lanjut, Cik Zaini berkata Encik Mohammad Zulkifli sempat belanja 10 rakan serumahnya makan nasi bungkus, beberapa hari sebelum tragedi itu.
“Kawan-kawan mereka yang datang ziarah ke sini memberitahu bahawa anak saya itu telah belanja 10 rakan yang tinggal satu rumah sewa dengannya, makan nasi bungkus,” katanya.
Jenazah lima sekeluarga itu telah disolatkan di Masjid Jamek Bota Kanan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat, Bota Kanan, selepas dibawa pulang dari Jerantut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg