KLANG: Polis mengesahkan enam warga tempatan yang terbabit dalam tragedi bot terbalik di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, pada 6 Jun, tidak memakai jaket keselamatan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata, siasatan awal mendapati bot itu dipandu oleh pemiliknya, yang juga lelaki berusia 50 tahun.
“Semua mangsa tidak memakai jaket keselamatan. Sebab itu apabila berurusan di laut, kita harus pakai kerana keselamatan adalah penting.
“Kadang-kadang apabila berlaku sedikit kecuaian ia akan menyebabkan kemalangan,” katanya pada sidang media pada 7 Julai.
Dalam pada itu, Vijaya Rao mengingatkan orang ramai terutama nelayan yang keluar ke laut supaya mengutamakan keselamatan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Sementara itu, beliau berkata, polis merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung tragedi itu.
“Keterangan diambil daripada mangsa yang terselamat iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun dan dua pekerja Royal Selangor Yacht Club.
“Seorang daripada mereka menghubungi talian kecemasan 999 dan kemudian meminta bantuan rakan sekerja untuk hadir bagi membantu menarik bot yang tenggelam,” katanya.
Mengulas lanjut, Vijaya Rao memaklumkan bot yang berjaya diapungkan itu akan dibawa balik ke Pangkalan Polis Marin untuk siasatan lanjut terutamanya dari sudut teknikal.
Tambah beliau, siasatan yang dijalankan ketika ini mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.
“Kertas siasatan dibuka berhubung tragedi ini mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membawa bot dengan cuai atau dalam keadaan gopoh,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan tiga terkorban, manakala dua lagi yang juga pasangan suami isteri masih hilang apabila bot dinaiki mereka terbalik dalam kejadian kira-kira 4.30 petang pada 6 Jun.
Mangsa belum ditemui itu dikenal pasti sebagai Encik Gan Hon Tat, 32 tahun, dan isteri, Cik Careen Man, 29 tahun, yang kedua-duanya berasal dari Klang Utama.
Mereka yang terkorban pula ialah anak lelaki pasangan suami isteri itu, Darren Gan, tiga tahun; Encik Cheu Son Hin, 50 tahun; dan Encik Fong Yong Sen, 29 tahun. Ketiga-tiga mangsa itu ditemui di dalam bot terbabit.
Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Chang Yan Qin Alvin, 17 tahun, terselamat.
Bot itu dikatakan baru sahaja dibaiki sebelum Encik Gan memutuskan untuk membawanya bagi tujuan uji pandu.
Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, dipetik berkata kejadian itu berlaku pada 4.30 petang 6 Jun, membabitkan enam individu di atas bot itu.
Beliau menambah siasatan awal mendapati bot berkenaan hilang kawalan sebelum terbalik, kira-kira 0.3 batu nautika barat Tanjung Harapan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg