BESUT: Dalam banyak barangan milik anak sulungnya, Allahyarhyamha Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, yang meninggal dunia dalam kemalangan bas pada 9 Jun lalu, blaus berwarna merah jambu antara yang paling mengundang sebak di dada Cik Norinda Kasim.
“Nur Dalila sudah tiada, hanya mampu peluk baju untuk mengubat rindu padanya,” katanya ketika pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengembalikan barangan milik arwah yang maut dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.
Cik Norinda menambah kepada laman Sinar Harian: “Hal ini kerana baju tersebut dibeli sedondon dengan saya sejak 10 tahun lalu. Ia adalah kesayangan Nur Dalila dan sentiasa dibawa ke mana sahaja dia pergi.
“Barangan arwah tiba di Masjid Hadhari sekitar jam 11 pagi tadi. Semua barangan ini kami hantar bersama Nur Dalila semasa awal kemasukannya ke UPSI, namun hari ini ia pulang tanpa tuannya,” katanya lagi ketika ditemui di Kampung Bharu Tok Dor, pada 12 Jun.
Cik Norinda memberitahu bahawa kesemua barangan milik anaknya itu akan disimpan sebagai kenangan.
Katanya lagi, pakaian arwah akan diberikan dan digunakan oleh adik-adiknya nanti.
Bagaimanapun, Cik Norinda melahirkan rasa terkilan apabila beg pakaian Nur Dalila yang dibawa bersama ketika menaiki bas telah hilang dan masih belum ditemukan sehingga kini.
Dalam pada itu, pemandu bas sewa khas yang terbabit dalam tragedi di Gerik sehingga meragut nyawa 15 pelajar UPSI akan didakwa di mahkamah pada 13 Jun.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata lelaki berusia 39 tahun itu yang ditahan sejurus selepas dibenarkan keluar dari Hospital Taiping, akan dihadapkan ke mahkamah di Gerik.
“Selepas solat Jumaat, esok, dia akan didakwa di Mahkamah Majistret, Gerik,” katanya ketika dihubungi pada 12 Jun.
Terdahulu, media melaporkan pemandu bas itu ditahan sekitar jam 5.45 petang 12 Jun selepas dibenarkan keluar hospital.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg