KUALA LUMPUR: Lesen memandu vokasional (PSV) milik pemandu bas yang terbabit dalam nahas meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada 9 Jun lalu, digantung serta-merta.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata tindakan diambil mengikut Seksyen 56(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Sebagai langkah proaktif demi menjaga kepentingan awam dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya, penggantungan lesen ini akan kekal berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dijalankan.
“JPJ turut membuka kertas siasatan terhadap pemilik syarikat pengendali kenderaan, termasuk syarikat yang menerima pajakan permit operasi bas berkenaan,” katanya dalam kenyataan padsa 16 Jun.
Beliau menegaskan, komitmen JPJ untuk terus mengutamakan keselamatan jalan raya dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya.
Dalam kejadian 9 Jun lalu, bas yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju kampus utama UPSI terbabit nahas di JRTB berhampiran Tasik Banding.
Kejadian menyebabkan 13 mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Pemandu bas, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39 tahun, kemudian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gerik, dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 ($15,091) jika sabit kesalahan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg