Sejak kebelakangan ini terdapat kes kenderaan berat di seberang Tambak yang terlibat dalam nahas maut.
Seramai 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang menaiki bas sewa khas yang membawa 42 penuntut UPSI dari Jertih, Terengganu, dalam perjalanan pulang ke kampus di Tanjung Malim, Perak, selepas cuti Aidiladha, hilang kawalan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli pada 9 Jun.
Awal sebelum itu, sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pula terkorban dalam satu nahas membabitkan trak pasukan itu dengan treler sarat muatan batu, di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, pada pagi 13 Mei.
Meskipun kedua-dua tragedi itu berlaku di seberang, ia merupakan satu peringatan kepada pemandu kenderaan berat di Singapura tentang perlunya mereka sentiasa kekal berwaspada dan prihatin tentang keadaan keselamatan kenderaan mereka.
Nahas maut melibatkan penuntut UPSI berlaku beberapa hari sebelum Polis Trafik (TP) berkongsi pada 11 Jun bahawa hanya satu daripada 10 kenderaan berat di Singapura telah memasang sistem peranti pembatas kelajuan.
Ia khusus untuk meningkatkan keselamatan di jalan raya dengan mengehadkan enjin pada maksimum 60 kilometer setiap jam (kmh).
Menurut TP, daripada 2,600 kenderaan berat yang perlu memasang pembatas kelajuan menjelang Januari 2026, hanya 231 sahaja yang telah berbuat demikian.
Pemasangannya memang diadakan secara bertahap melibatkan model baru dan lama.
Persoalannya kini, mengapakah terdapat semacam kurangnya kecenderungan untuk memasangnya di peringkat awal?
Semoga ia tiada kaitan dengan ‘kebebasan’ untuk memecut tanpa adanya batasan peranti sedemikian.
Sistem peranti pembatas kelajuan mempunyai beberapa faedah bukan sahaja kepada pemandu malah pengguna jalan raya juga.
Dengan adanya peranti tersebut, ia dikatakan boleh membantu mengurangkan penggunaan bahan api serta kos menyelenggara.
Di samping itu, yang kerap diuar-uarkan adalah memperbaiki tahap keselamatan di jalan raya.
Apabila had kelajuan dikekang, maka dengan sendirinya ia berupaya mengurangkan risiko kemalangan, sekali gus mewujudkan persekitaran lebih selamat untuk semua.
Ada sebahagian pemandu kenderaan berat menyifatkan kos terlibat dalam pemasangan serta gangguan operasi yang dikaitkan dengan pemasangannya sebagai hambatan.
Apa yang diperlukan kini ialah perubahan minda oleh pengguna kenderaan berat.
TP telah mula berusaha meningkat kesedaran dalam kalangan pemandu kenderaan berat berhubung tempat pemasangan peranti itu.
Mungkinkah tawaran khas bagi mereka yang mengorak langkah untuk memasangnya awal boleh diperuntuk?
Hakikatnya peranti pembatas kelajuan mungkin dilihat sebagai ‘penyekat kebebasan’ untuk memecut.
Namun, ia mungkin dapat memupuk kebiasaan untuk memandu mengikut had yang ditetapkan.
Ibarat kata pepatah, alah bisa tegal biasa.
Biarlah perut itu terasa kecut untuk memecut apabila membayangkan kemungkinan disaman, diberi mata demerit, terlibat dalam kemalangan yang bukan sahaja boleh menjejas orang awam, malah pemandu itu sendiri.
Berbaloikah untuk memecut semata-mata untuk memburu keghairahan yang bersifat sementara, sedangkan ia berupaya menimbulkan bahaya dengan kesan yang boleh menjejas sampai bila-bila?


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg