Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas pelajar UPSI: Seorang mangsa hafaz 30 juzuk al-Quran

Jun 9, 2025 | 4:39 PM
nahas bas, gerik, perak
Cik Nurly Shahirah Azman (foto sisipan) yang bercita-cita menjadi pendidik sekolah istimewa, antara penuntut UPSI yang terkorban dalam nahas bas di Gerik, Perak. - Foto SINAR HARIAN/MOHD NAJMUDDIN AZMAN

BESUT: Pemergian salah seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Gerik, Perak, memberi kesan mendalam kepada keluarganya kerana mangsa merupakan seorang hafiz 30 juzuk al-Quran.

Cik Nurly Shahirah Azman, 23 tahun, antara 15 pelajar UPSI yang meninggal dunia dalam tragedi di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, pada awal pagi 9 Jun.

Abangnya, Encik Mohd Najmuddin Azman, 28 tahun, berkata adik bongsunya itu sering mengamalkan bacaan kitab suci al-Quran setiap malam sejak kecil, lapor laman Sinar Harian.

Menurutnya, kali terakhir beliau bertemu Cik Nurly Shahirah ialah di kampung halaman mereka di Gong Pasir, dekat Jabi, di sini, sebelum Allahyarham bertolak pulang ke UPSI malam sebelumnya.

“Dia ada beritahu mahu ke rumah saya di Kajang minggu hadapan, tetapi hajat itu tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di sini pada 9 Jun.

Encik Mohd Najmuddin berkata beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada bapanya selepas Subuh pada 9 Jun.

“Waktu terima panggilan tu saya sedang dalam perjalanan pulang dari Gua Musang ke Kajang.

“Saya terus hubungi pihak hospital serta bilik gerakan polis untuk mendapatkan kepastian.

“Mula-mula saya diberitahu nama adik tiada dalam senarai pelajar yang dirawat, namun selepas itu baru saya dimaklumkan dia terlibat dan telah meninggal dunia,” ujarnya sebak.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Encik Mohd Farid Firdaus Azman, 36 tahun, berkata Cik Nurly Shahirah yang merupakan bekas pelajar SM Imtiaz Besut, bercita-cita menjadi guru pendidikan khas dan dijadualkan menjalani latihan praktikal bermula Ogos depan.

“Arwah simpan cita-citanya sejak kecil untuk jadi pendidik dan kami sekeluarga amat terkejut dengan tragedi ini.

“Walaupun Nurly merupakan harapan keluarga, kami sekeluarga reda dengan takdir yang menimpa,” katanya.

Encik Mohd Farid Firdaus memberitahu ibu bapa mereka kini berada di Hospital Gerik untuk proses pengurusan jenazah sebelum dibawa pulang ke Kampung Gong Pasir untuk dikebumikan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg