KUALA LUMPUR: Nahas ngeri bas terbalik yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 nyawa termasuk penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Perak, pada awal pagi 9 Jun meninggalkan kesan tragis yang menyedihkan, terutama buat mangsa yang terselamat dan saksi yang menyaksikan kejadian di depan mata.
Seorang penuntut UPSI yang terselamat, Cik Nur Irdina Huri, 22 tahun, berkata beliau menguatkan diri keluar daripada perut bas selepas kemalangan itu walaupun cedera.
“Saya keluar dari lubang kecil selepas bas terbalik. Keadaan gelap menyebabkan saya tak dapat bantu rakan-rakan walaupun mendengar jeritan mereka,” katanya yang mengalami kecederaan di pinggang, selain kakinya turut terseliuh, lapor Kosmo!.
Cik Nur Irdina, yang merupakan pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-kanak di UPSI, berkata sewaktu kejadian beliau tidak tidur dan mendakwa bas dinaiki bersama rakan-rakannya berbau hangit, selain bergerak laju di jalan raya.
Seorang lagi mangsa, Cik Aleeya Maisarah Azizzani, 21 tahun, pula berkata beliau terlalu sedih tidak dapat membantu rakannya yang meronta kesakitan dan ada yang tercampak ke dalam longkang kerana keadaan dirinya yang turut cedera.
“Bas bertolak dari Jertih (Terengganu) kira-kira 9 malam. Dalam perjalanan memang ada bau bas hangit, dan ada di satu tempat sekitar Jeli, bas dibawa laju dan terlanggar lopak air hingga hampir terbabas.
“Selepas kejadian bas terus dipandu laju sehinggalah kemalangan berlaku,” katanya lapor Sinar Harian.
Harian Metro juga melaporkan seorang lelaki yang dikenali sebagai Encik Razali, 45 tahun, berkata keadaan di tempat kejadian sangat menyedihkan dengan ada mangsa yang cedera meraung minta tolong, malah lebih menyayat hati ada yang mengajar rakan mengucap walaupun tahu mereka sudah meninggal dunia.
Encik Razali, yang tinggal di Jeli, Kelantan, bergegas ke tempat kejadian sebaik mengetahui kemalangan yang berlaku kerana pada awalnya menyangka kemalangan itu berlaku dalam kawasan Kelantan.
“Sangat menyedihkan melihat kejadian di depan mata. Ada yang tersepit, ada yang menangis meminta tolong kerana sakit, ada yang tidak putus asa mengajar rakan mengucap dua kalimah syahadah walaupun mereka tahu rakannya sudah meninggal dunia.
“Mayat mereka yang sudah dikenal pasti meninggal dunia disusun, manakala pasukan perubatan berusaha memberi bantuan kepada mangsa yang cedera,” katanya.
Polis Perak mengesahkan hasil siasatan awal mendapati nahas tragis sekitar 1 pagi itu berlaku selepas bas dinaiki 42 penuntut UPSI terdiri daripada lapan lelaki dan 32 wanita itu dipercayai terlanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, sebelum hilang kawalan dan terbalik.
Turut terbabit nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, itu ialah pemandu bas terbabit berusia 42 tahun dan kelindan berusia 54 tahun, selain empat yang menaiki kenderaan MPV.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata siasatan mendapati kededua kenderaan itu dalam laluan sama menghala ke Gerik.
Beliau turut mengesahkan bas persiaran itu disewa khas oleh pelajar berusia lingkungan 21 hingga 23 tahun yang berasal dari pantai timur dan dalam perjalanan pulang dari Jertih, Terengganu, menghala ke UPSI, selepas cuti Aidiladha.
“Proses bedah siasat membabitkan 15 kematian itu dijalankan untuk proses pengecaman. Mangsa membabitkan MPV adalah sepasang suami isteri berusia 30-an tahun bersama anak perempuan berusia enam tahun serta anak lelaki berusia tiga tahun.
“Selain itu, 27 lagi penumpang bas yang cedera dirawat di beberapa hospital,” katanya pada siaran langsung sidang media sambil menambah keadaan di tempat kejadian menurun bukit, berliku dan gelap.
Dalam pada itu beberapa pertubuhan amal di Terengganu menghulur bantuan dengan menggerakkan 19 van jenazah ke Perak untuk membantu menguruskan jenazah pelajar UPSI yang terbabit dalam kemalangan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg