Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas pelajar UPSI: Syarikat gagal patuhi syarat lesen didenda RM20,000

Nov 7, 2025 | 10:13 AM
Foto dirakamkan pada 9 Jun menunjukkan keadaan semasa di kawasan kejadian kemalangan yang meragut 15 nyawa penuntut UPSI di KM53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik, Perak.
Foto dirakamkan pada 9 Jun menunjukkan keadaan semasa di kawasan kejadian kemalangan yang meragut 15 nyawa penuntut UPSI di KM53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik, Perak. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Syarikat bas Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd didenda RM20,000 ($6,253) selepas mengaku bersalah menjual bas persiaran dan menyewa permit bas terbabit kepada Noreen Maju Trading, sebuah entiti yang menjalankan perniagaan pengendalian pelancongan tanpa lesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

Bas persiaran terbabit dikendalikan oleh Noreen Maju Trading dan terlibat dalam kemalangan maut di Gerik, Perak, ketika membawa sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pulang ke kampus Tanjong Malim pada 9 Jun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan kepada syarikat terbabit oleh Mahkamah Majistret Gerik pada 3 November lalu yang mensabitkan syarikat itu atas dua tuduhan di bawah Peraturan 6(1)(f) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992 kerana gagal mematuhi syarat lesen yang melarang urus niaga dengan pihak tidak berlesen.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap tuduhan dan kegagalan membayar boleh membawa hukuman penjara hingga lima tahun, lapor Berita Harian Malaysia.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Zulaikha Mahadi bersama-sama Pegawai Pendakwa Motac Nurul Hidayah Aman.

Sehubungan dengan itu, Motac menegaskan bahawa pelanggaran Akta 482 dan peraturannya merupakan kesalahan jenayah serius.

“Motac komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengancam keselamatan dan integriti industri pelancongan negara,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian awal pagi 9 Jun, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu, ke kampus utama Tanjong Malim terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg