Laporan awal siasatan nahas bas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu mendedahkan faktor manusia merupakan elemen utama dalam punca tragedi di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak itu.
Menerusi Laporan Awal Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan oleh Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan Malaysia yang dikeluarkan pada 18 Julai, corak pemanduan berbahaya dan kelemahan dalam aspek operasi dikenal pasti telah menyumbang kepada punca nahas tersebut.
“Faktor manusia, khususnya pemanduan berisiko tinggi dan kelemahan dalam pengurusan pemandu, telah dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama dalam kejadian ini.
“Jumlah saman lalu lintas yang tinggi, pemilihan pemandu tidak layak, corak pemanduan agresif, serta kemungkinan keletihan, membentuk satu corak kegagalan dalam tadbir urus keselamatan pengendalian kenderaan awam,” kata laporan itu.
Laporan itu menyebut, siasatan mendapati kededua pemandu bas yang terlibat mempunyai rekod kesalahan jalan raya yang membimbangkan, dengan pemandu pertama (yang memandu semasa kejadian) mempunyai 18 saman trafik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara pemandu kedua pula mempunyai sembilan saman aktif oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan 13 saman oleh PDRM yang belum dijelaskan.
Siasatan juga mendedahkan bas terbabit dipandu dua kali ganda melebihi had laju ditetapkan, menyebabkan hilang kawalan terhadap kenderaan itu dan kemungkinan berlaku kerosakan brek yang berpunca daripada corak pemanduan.
“Rakaman ‘dashcam’ dan analisis kinematik menunjukkan kelajuan bas semasa kejadian melebihi 117 kilometer sejam (km/jam), iaitu hampir dua kali ganda had laju kawasan kejadian iaitu 60 km/jam.
“Kelajuan bas melebihi ambang untuk kenderaan tergelincir dan terbalik. Punca utama kejadian dikenal pasti sebagai kegagalan mengawal kelajuan ketika melalui selekoh di laluan menuruni bukit, menyebabkan bas hilang kawalan dan terbalik ke arah kiri jalan,” menurut laporan itu.
Laporan siasatan juga mendedahkan walaupun pemandu mendakwa berlaku kegagalan sistem brek, siasatan setakat ini belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal.
“Pemandu bas mendakwa bahawa kegagalan sistem brek menjadi punca hilang kawalan kenderaan. Pemeriksaan awal tidak menemui bukti teknikal yang jelas menyokong dakwaan ini.
“Bagaimanapun, terdapat tanda-tanda pemanasan melampau dan kehausan komponen brek yang mungkin berpunca daripada penggunaan berlebihan atau teknik membrek yang tidak sesuai semasa menuruni bukit. Analisis terperinci sistem brek masih diteruskan dan akan dilaporkan dalam Laporan Akhir,” katanya.
Dalam nahas ngeri 9 Jun lalu itu, bas sewa khas yang dinaiki 42 penuntut UPSI dari Jertih, Terengganu, untuk pulang ke kampus di Tanjung Malim, Perak, selepas cuti Aidiladha telah hilang kawalan sebelum terbalik.
Kejadian itu turut menyebabkan 27 lagi penuntut cedera dan empat orang lain, yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna, turut cedera.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg