KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R Ramanan, mendesak mantan pemimpin PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, supaya menjawab skandal membabitkan rakan parti barunya, Parti Bersama Malaysia – Nik Nazmi Nik Ahmad.

Datuk Ramanan berkata Datuk Rafizi selaku pemimpin Bersama perlu menjawab khususnya berhubung dakwaan isu penyalahgunaan kuasa oleh Nik Nazmi membabitkan Yayasan Hijau Malaysia, ketika beliau memegang jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Datuk Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata isu pemimpin Bersama itu bukan sahaja membabitkan kesalahan berkhalwat dengan isteri orang, tetapi skopnya lebih besar kerana Yayasan Hijau Malaysia adalah sebuah subsidiari di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Katanya, wanita yang ditangkap khalwat bersama Nik Nazmi ialah Ketua Pegawai Operasi (COO) Yayasan Hijau Malaysia, dan dilantik sendiri oleh Nik Nazmi ketika masih menjadi menteri.

“Dana kutipan hasil daripada syarikat sendiri yang beliau (Nik Nazmi) lobi diberikan kepada yayasan berkenaan dan bukankah ini adalah salah guna kuasa, salah tadbir urus tatakelola, kecuaian melampau dan tidak bermoral?

“Saya juga ingin bertanya mengenai kediaman yang menjadi tempat tangkapan kes khalwat. Adakah dibeli atau disewa menggunakan hasil yayasan berkenaan?

“Selain itu, Yayasan Hijau ini sudah diaudit atau belum?,” katanya pada sidang media sempena Majlis Apresiasi Perkhidmatan Warga Kementerian Sumber Manusia di Kuala Lumpur, pada 22 Oktober, lapor Harian Metro.

Datuk Ramanan mendakwa Datuk Rafizi kononnya mahu menjadi pakar penyiasat hebat untuk bertanya banyak soalan, namun mantan Timbalan Presiden PKR itu hanya berani menggunakan nama media antarabangsa dan apabila disaman, tidak berani mendedahkan buktinya.

“Ini bukan cara untuk berpolitik. Jika mahu berpolitik, kita berpolitik secara berprinsip dan berdisiplin.

“Nasihat saya, jagalah diri sendiri dan lihat sekeliling dahulu. Jangan gunakan orang lain dan menabur fitnah.

“Cukuplah menyeksa orang lain dan saya harap Datuk Rafizi bertaubat. Jadilah orang yang bermoral.

Jangan tiada integriti, tiada tatakelola, tiada akhlak dan tiada prinsip hidup.

“Jadilah orang yang baik,” katanya lagi.

Sebelum ini, Datuk Rafizi lantang mendakwa Datuk Ramanan menerima RM9.5 juta daripada ahli perniagaan Victor Chin, bagi menyelesaikan isu skandal mafia korporat.

Datuk Ramanan menyifatkan Datuk Rafizi sebagai pembohong bersiri kerana sering mengeluarkan kenyataan tidak benar dan memutarbelitkan keadaan.