Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Najib fail rayuan hukuman penjara 15 tahun, denda RM11.4b

Rayuan cabar sabitan mahkamah terhadap 4 pertuduhan salah guna kuasa, 21 pertuduhan ubah wang haram 1MDB
Dec 30, 2025 | 2:23 PM
Najib Tun Razak, 1mdb, money laundering, rasuah
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak (tengah), memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi selepas permohonan beliau untuk menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah ditolak. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 Disember lalu, yang menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ($3.62 bilion) terhadapnya, dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguamnya, Encik Muhammad Farhan Muhammad Shafee, berkata notis itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada malam 29 Disember, dan perkara tersebut turut disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib.

Rayuan itu mencabar sabitan yang dibacakan pada 26 Disember lalu oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang mendapati Encik Najib bersalah atas empat pertuduhan salah kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana berkaitan 1MDB.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda keseluruhan RM11.4 bilion, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Encik Najib turut berdepan hukuman penjara tambahan 40 tahun lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Encik Najib dihukum penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan tanpa sebarang denda dikenakan.

Bekas Presiden Umno berusia 72 tahun itu hanya akan menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Hukuman itu akan berkuat kuasa selepas Encik Najib selesai menjalani hukuman penjara enam tahun lagi sehingga 23 Ogos 2028, selepas disabitkan bersalah bagi kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, pada Ogos 2022.

Ia selepas bekas Ahli Parlimen Pekan (Pahang) itu diberi pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, pada akhir Januari 2024.

Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari 2024 itu mengurangkan hukuman penjara 12 tahun Encik Najib bagi kes SRC International tersebut kepada enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Menyusuli pengurangan hukuman itu, Encik Najib turut mendedahkan kewujudan titah adendum atau perintah tambahan diraja yang didakwa diberikan oleh Sultan Abdullah, yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Bagaimanapun, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa tidak mengetahui mengenai titah adendum itu dan menegaskan ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan ketika itu.

Encik Najib kemudian menggunakan saluran mahkamah untuk mengesahkan kebenaran tahanan rumah itu sejak April 2024.

Bagaimanapun pada 22 Disember, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan bekas Menteri Kewangan itu untuk menjalani sisa hukuman penjara sebagai tahanan rumah, setelah memutuskan titah adendum yang membenarkan perkara itu adalah tidak sah.

Encik Najib akan menghabiskan baki hukuman penjara yang dijalaninya sejak Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International, di Penjara Kajang, Selangor.

Pada 29 Disember, media melaporkan Encik Najib sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan tahanan rumahnya itu pada 24 Disember lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg