Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Najib luah rasa tenang meski dijatuhi hukuman penjara 15 tahun

Tekad teruskan perjuangan tuntut hak walau harus ‘dipikul sendirian’
Dec 27, 2025 | 3:33 PM
Najib Tun Razak, 1MDB, rasuah
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion ($3.61 bilion) selepas didapati bersalah atas semua 25 tuduhan kes salah guna kuasa dan pengubahan haram dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 26 Disember. - Foto REUTERS

Sejurus dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion ($3.61 bilion) selepas didapati bersalah atas semua 25 tuduhan kes salah guna kuasa dan pengubahan haram dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 26 Disember, bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, menitipkan luahan yang disifatkannya ditulis dengan fikiran tenang walaupun berhati berat.

Dalam surat tersebut, Encik Najib menegaskan ada ketika beliau berasakan seolah-olah perjuangan menuntut haknya melalui saluran perundangan harus dipikul sendirian, namun tetap bertekad meneruskannya, bukan kerana dendam, tetapi kerana prinsip.

“Saya akan terus menuntut hak saya melalui saluran yang sah, dengan maruah dan kesabaran, walaupun jalannya sunyi dan menuntut pengorbanan yang besar. 

“Apa pun keputusan hari ini, saya tetap yakin kepada proses kehakiman negara,” katanya dalam surat yang dibacakan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada sidang media usai keputusan itu dan turut dikongsikan di Facebook pada 26 Disember.

Bekas presiden Umno tersebut menolak tanggapan usahanya itu merupakan percubaan mengelak daripada tanggungjawab, sebaliknya menyifatkan ia sebagai ikhtiar menegakkan keadilan, mempertahankan integriti Perlembagaan dan memastikan kedaulatan undang-undang dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih. 

“Apa yang saya tuntut hanyalah hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dan apa yang telah diperkenankan.

“Niat saya tidak pernah berubah, untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Encik Najib turut menggesa rakyat Malaysia kekal tenang, rasional dan berhemah serta tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau mencemarkan proses perundangan. 

Menurutnya perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menilai perkara ini dengan tenang dan rasional bukan semata-mata daripada sudut nasib saya sebagai individu, tetapi demi masa depan institusi negara dan prinsip-prinsip yang kita junjung bersama,” titipnya.

Mahkamah Tinggi yang bersidang di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada 26 Disember memutuskan Encik Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram RM2.3 bilion dana berkaitan 1MDB.

Bekas Ahli Parlimen Pekan (Pahang) itu kini menjalani hukuman penjara yang asalnya 12 tahun bersama denda RM210 juta selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd pada Ogos 2022.

Namun, Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, pada 29 Januari 2024, memberikan pengurangan hukuman kepada enam tahun penjara serta RM50 juta denda yang perlu dibayar. Dengan itu Encik Najib dijadual tamat menjalani hukuman itu pada Ogos 2028.

Bagi kes 1MDB itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Encik Najib bagi setiap empat pertuduhan menggunakan kedudukan dan lima tahun penjara bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram.

Semua hukuman diperintah berjalan serentak, bermula selepas tamat hukuman kes SRC.

Encik Najib turut berdepan hukuman penjara tambahan 40 tahun sekiranya gagal melunaskan denda RM11.38 bilion.

Jika beliau gagal di peringkat rayuan, Encik Najib dijangka menamatkan hukuman penjara pada 2043.

Sementara itu, Tan Sri Muhammad Shafee mengakui keputusan kes berkenaan sudah dijangka, tetapi amat mengecewakan dan pasukan pembelaan akan memfailkan rayuan pada 29 Disember terhadap sabitan Encik Najib atas 25 pertuduhan kes 1MDB.

“Ini barangkali merupakan kes pertama dalam hampir 50 tahun kerjaya saya dalam bidang perundangan di mana saya kalah dalam setiap satu hujahan.

“Tidak ada satu pun perkara yang memihak kepada kami. Ia adalah keputusan yang sempurna untuk pihak pendakwaan.

“Walaupun saya sedih untuk anak guam saya, dalam banyak aspek saya gembira kerana lebih banyak kesilapan yang dilakukan oleh seorang hakim, lebih baik peluang kami (menang rayuan),” katanya, yang berharap dapat menggunakan apa yang dikatakannya sebagai kesilapan Hakim Datuk Collin untuk berhujah di Mahkamah Rayuan.

Dalam pada itu, keputusan 1MDB mendapat pelbagai reaksi dengan ada pihak yang bersetuju dengan keputusan yang disifatkan paling dinanti-nanti, manakala bagi penyokong Encik Najib, ia keputusan yang amat menyedihkan.

“Saya berada di mahkamah selama 12 jam bermula 9 pagi hingga 9.30 malam bagi mengikuti prosiding ini.

“Saya lebih kecewa dengan keputusan yang dibuat, namun tetap menghormati keputusan mahkamah selaras prinsip kedaulatan undang-undang,” kata Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Johan Abd Aziz.

Pesara penjawat awam, Cik Halijah Ibrahim, 69 tahun, gagal menyembunyikan rasa sedih melihat layanan diberikan kepada Encik Najib, pemimpin yang dianggap paling banyak berjasa kepadanya.

Ahli Parlimen Pandan (Kuala Lumpur) yang juga mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata skandal 1MDB wajar menjadi iktibar supaya tidak berulang pada masa depan dan semua pihak bertanggungjawab untuk menghormati keputusan mahkamah.

Beliau yang pernah dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan pada November 2016 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana mendedahkan laporan audit 1MDB, sebelum Mahkamah Rayuan membatalkan hukuman itu pada 2018, berkata kes 1MDB tidak boleh dipadamkan daripada sejarah dan telah memecahbelahkan rakyat Malaysia.

“Mereka yang mengikuti bukti-bukti yang telah ditunjukkan kepada umum, baik semasa isu ini dibawa di luar mahkamah sehinggalah bukti dikemukakan di mahkamah, sudah tentu bersetuju dengan keputusan hakim pada hari ini (26 Disember).

“Mereka yang tidak bersetuju, atas sebab-sebab mereka sendiri, akan terus tidak bersetuju.

“Sudah tentu pandangan kita itu adalah hak kita, tetapi pandangan kita wajar disandarkan kepada tanggungjawab kita juga.

“Hak untuk mana-mana pihak terus membela Encik Najib berlandaskan undang-undang, itu hak mereka.

“Hak pihak yang lain untuk bersetuju dengan perkembangan kes ini setakat ini, kita wajar hormati. Tidak ada sesiapa yang boleh cuba memaksa pihak lain untuk mengikuti pandangan mereka,” katanya di Facebook.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg