KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonannya untuk menjalani sisa hukuman penjara berkait kes SRC International Sdn Bhd, sebagai tahanan rumah.
Peguamnya, Encik Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mengesahkan notis rayuan berkenaan sudah difailkan, pada 24 Disember lalu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Mahkamah Tinggi pada 22 Disember menolak permohonan bekas Presiden Umno itu bagi memaksa kerajaan serta enam yang lain agar melaksanakan titah adendum atau perintah tambahan diraja supaya beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun melalui tahanan rumah.
Encik Najib yang disabitkan bersalah bagi kesalahan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta ($13.3 juta) milik SRC International, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor.
Hakim Alice Loke Yee Ching menolak permohonan Encik Najib itu selepas berpuas hati, isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut, dibincang mahupun diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari 2024.
Dalam pada itu, Encik Najib yang didapati bersalah atas empat tuduhan kes salah guna kuasa dan 21 kes pengubahan wang haram dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), boleh didakwa semula terhadap kes pengubahan wang haram RM27 juta dana SRC International.
Jun lalu, Encik Najib, bekas Menteri Kewangan, telah dibebas tanpa dilepaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International itu.
Menurut laporan portal berita, Malaysiakini, kes itu tergantung sejak 2019 tanpa perkembangan dan Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan ia tidak dapat diteruskan kerana dokumen berkaitan terikat dengan perbicaraan kes 1MDB.
DNAA bermaksud tertuduh masih boleh didakwa semula atas kesalahan yang sama.
Selepas perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi selesai dengan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap Encik Najib pada 26 Disember lalu, ruang terbuka untuk pihak pendakwaan memulakan semula kes pengubahan wang haram itu.
Malaysiakini melaporkan, peguam, Cik Samantha Chong, menyatakan meskipun Encik Najib berkemungkinan memfailkan rayuan terhadap sabitan dalam kes 1MDB, pihak pendakwaan masih boleh memohon kepada mahkamah agar menggunakan dokumen berkaitan dalam kes pengubahan wang haram RM27 juta itu.
Encik Najib sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan menerima RM27 juta hasil kegiatan haram melalui tiga akaun bank peribadi atas namanya pada Julai 2014.
Kes itu berasingan daripada kes SRC International melibatkan dana RM42 juta.
Dalam perkembangan lain, isteri Encik Najib, Cik Rosmah Mansor, enggan mempedulikan tohmahan masyarakat yang menuduhnya sebagai punca kejatuhan Encik Najib sebagai perdana menteri keenam.
“Saya tak peduli kerana tuduhan itu semua tidak benar. Segala tohmahan dilemparkan terhadap saya sebagai sesuatu yang tidak berasas, malah memilih untuk tidak membiarkan kata-kata nista mengganggu emosi,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut beliau, keyakinan itu hadir kerana individu paling dekat dengannya termasuk ahli keluarga serta sahabat handai lebih mengetahui kebenaran di sebalik segala naratif negatif pihak luar.
Dalam pertemuan bersama BHM di kediamannya di Kuala Lumpur pada 28 Disember, Cik Rosmah menjelaskan keutamaan beliau kini adalah untuk kekal bersemangat demi kelangsungan dan kekuatan seluruh ahli keluarganya dalam mendepani ujian getir ketika ini.
Bagaimanapun beliau tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan terhadap segelintir pihak, khususnya pemimpin politik, yang dilihat seolah-olah berpesta di atas penderitaan yang sedang dialami oleh keluarganya.
“Apa yang menyedihkan ialah apabila ada pihak yang bergembira dengan kesusahan dan dugaan keluarga kami,” katanya merujuk reaksi sorakan beberapa pemimpin parti selepas Encik Najib disabitkan kesalahan berkaitan kes 1MDB.
“Walau seberapa banyak pun kebencian mereka terhadap Encik Najib dan saya, saya rasa tidak perlulah ada yang bergembira atas kesusahan kami,” luahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg