Keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 Disember yang mensabitkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, bersalah atas semua 25 tuduhan berkaitan dana kekayaan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), menutup satu episod penting dalam sejarah politik dan perundangan Malaysia.
Namun pada masa sama, keputusan itu membuka persoalan baru tentang kesan jangka panjangnya terhadap landskap politik Malaysia yang sudah sedia goyah.
Selepas lebih sedekad skandal itu mula didedahkan, kes Encik Najib kini bukan lagi sekadar isu mahkamah, tetapi telah berkembang menjadi simbol pertembungan antara kuasa politik, institusi kehakiman dan persepsi awam terhadap keadilan.
Daripada sudut undang-undang, keputusan tersebut mengukuhkan kedudukan pihak pendakwaan bahawa dana berbilion ringgit yang didakwa mengalir ke akaun peribadi Encik Najib tidak boleh dianggap sebagai derma politik yang sah daripada Arab Saudi.
Keputusan itu dijangka memberi tekanan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutama ketika beberapa parti gabungan dalam kerajaan itu hangat dengan pertikaman lidah, khususnya melibatkan Umno dan DAP.
Terkini, dua parti itu berbalas kenyataan secara terbuka selepas pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan ‘meraikan’ kegagalan Encik Najib memperoleh kebenaran dalam permohonannya untuk menjalani sisa hukuman penjara sebagai tahanan rumah, seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 22 Disember.
Bagi pemerhati, keputusan itu juga memberi isyarat bahawa sistem kehakiman Malaysia mampu berfungsi secara bebas, walaupun kes itu melibatkan bekas perdana menteri dan kes berprofil tinggi.
Namun, daripada sudut politik, implikasinya dikatakan jauh lebih kompleks.
Penganalisis politik tempatan dan antarabangsa, Profesor Dr Azmi Hassan, berkata keputusan kes 1MDB membabitkan Encik Najib itu tidak mengejutkan dan sudah dijangka oleh penyokong Umno mahupun sebahagian rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, Zamil Majlis Profesor Negara dan Geostrategis Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara itu menjangkakan ia akan dimanfaatkan oleh Umno untuk menghidupkan semula semangat akar umbi dan memperkukuh kedudukan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Keputusan tersebut berpotensi menjadi pemangkin kepada hasrat Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk bergerak secara solo pada PRU16, dengan kerjasama minimum bersama parti gabungannya dalam Kerajaan Perpaduan-Pakatan Harapan (PH) dan tanpa sebarang kerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP).
“Walaupun Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini telah menyatakan pendirian bahawa BN akan bergerak sendiri pada PRU16, kes Encik Najib dilihat mempercepatkan penzahiran strategi itu.
“Umno dijangka menggunakan isu 1MDB, kes SRC International serta titah adendum tahanan rumah untuk membina naratif bahawa Encik Najib adalah mangsa pendakwaan terpilih bermotifkan politik, satu pendekatan yang dipercayai mampu mengukuhkan sokongan penyokong setia dan jentera akar umbi parti itu,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Sebelum ini, Umno pernah mengeluarkan kenyataan mahu menilai semula kedudukan mereka dalam kerajaan dengan beberapa pemimpinnya mengancam untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan, berikutan kenyataan DAP mempersenda kes tahanan rumah Encik Najib yang dianggap biadap.
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dalam maklum balasnya menyusuli keputusan pada 26 Disember, menyifatkan keputusan mahkamah itu kejayaan besar badan itu, di sebalik pelbagai cabaran perundangan, teknikal dan bidang kuasa.
“Pegawai penyiasat serta pasukan pendakwaan bekerja tanpa mengenal penat lelah sejak awal siasatan 1MDB dimulakan pada Julai 2015, sehingga sampai kepada pengumuman keputusan penghakiman kes ini.
“Penghargaan kepada mereka sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan ketekunan luar biasa, khususnya dalam mendapatkan keterangan dan bukti sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu suasana di Istana Kehakiman Putrajaya dimeriahkan dengan semangat penyokong Encik Najib – yang kebanyakannya pemimpin dan ahli Umno – yang hadir sejak awal pagi sebagai tanda sokongan terhadap bekas pencetus slogan 1Malaysia ketika dua penggal pentadbirannya.
Malah, ada penyokong turut membawa bekalan sarapan pagi dan dimakan beramai-ramai di bawah cuaca panas di pekarangan Istana Kehakiman.
Pihak mahkamah juga melaksanakan kawalan ketat dengan menutup pintu masuk bahagian hadapan mahkamah bagi mengelak kekecohan.
Turut dilihat hadir di mahkamah ialah isteri Encik Najib, Datin Seri Rosmah Mansor bersama anak-anak mereka; mantan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, dan mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Skandal kewangan 1MDB yang didedahkan pada 2014 membawa kepada kejatuhan kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas memerintah kira-kira 61 tahun, sejak kemerdekaan Malaysia pada 1957.
Kekalahan bersejarah itu telah merombak struktur politik negara, menamatkan dominasi panjang pemerintahan BN.
1MDB ialah dana pelaburan Malaysia yang dilancarkan oleh Encik Najib pada 2009, tidak lama selepas beliau menjadi Perdana Menteri.
Penyelewengan dana itu turut dikaitkan dengan anak tiri Encik Najib, Riza Aziz, yang didakwa menggunakan puluhan juta untuk membiayai filem Hollywood, The Wolf of Wall Street, yang dibintangi Leonardo DiCaprio.
Bagaimanapun, Encik Najib ketika membela diri terhadap tuduhan penyelewengan RM2.3 bilion itu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Riza menggunakan ‘wang bersih’ yang dibiayai oleh pinjaman daripada dana Abu Dhabi untuk menghasilkan filem Hollywood itu.
Antara saksi utama bagi pihak pendakwaan ialah bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohamad Bakke Salleh; bekas peguam 1MDB, Cik Jasmine Loo Ai Swan; dan Pegawai Penyiasat SPRM, Superintendan Kanan Nur Aida Ariffin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg