Topik diikuti
Pergi ke BHkuNajib kekal dalam penjara, belum bayar denda $15.7j
Najib kekal dalam penjara, belum bayar denda $15.7j
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, masih belum membayar denda RM50 juta ($15.7 juta) yang dikenakan ke atasnya dalam kes SRC International, kata Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Seperti dilaporkan Sinar Harian, Tan Sri Mohd Dusuki berkata maklumat terkini yang diterima Jabatan Peguam Negara (AGC) menunjukkan bahawa pembayaran itu masih belum dijelaskan.
“Setakat ini, maklumat yang kami terima menunjukkan Datuk Seri Najib masih belum membuat pembayaran. Itu maklumat terkini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Sekolah Angkat Madani AGC di SK Pasir Hor, Kota Baru, pada 1 November.
Tan Sri Mohd Dusuki berkata tiada tarikh akhir khusus bagi Encik Najib untuk menjelaskan denda itu. Ditanya sama ada Encik Najib perlu kekal dalam penjara sehingga denda itu dibayar, beliau mengesahkan bahawa itulah keadaannya.
Pada 18 September, dilaporkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memberikan pengampunan bersyarat kepada Encik Najib, membolehkannya menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Namun, perintah itu mensyaratkan Encik Najib membayar denda RM50 juta tersebut.
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat ke-64 Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.
Encik Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020 selepas disabitkan atas tujuh tuduhan melibatkan dana SRC International sebanyak RM42 juta.
Sabitan dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Disember 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.
Pada mesyuarat ke-61nya pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Secara berasingan, pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas Encik Najib selepas mendapati beliau bersalah atas empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebanyak RM2.3 bilion.
Hukuman penjara itu akan bermula selepas beliau menamatkan hukumannya dalam kes SRC International. Encik Najib memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu pada 29 Disember 2025. - Agensi berita.