KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak, muncul di khalayak ramai pada 25 September.

Ia merupakan kemunculan kali pertama selepas beliau diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara untuk kes penyelewengan SRC International, di bawah tahanan rumah.

Bekas Presiden Umno itu yang tiba dari Penjara Kajang, Selangor, pada 8.30 pagi dilihat mengenakan sut kelabu muda dan kemeja putih, dengan dikawal ketat pihak Jabatan Penjara.

Beliau hadir ke mahkamah untuk pendengaran permohonannya untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion ($3.57 bilion) berkait kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Oktober depan untuk mendengar permohonan itu.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Encik Najib mungkin boleh meninggalkan Penjara Kajang dan mula menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah seawal Oktober.

Menurutnya, perkara itu boleh berlaku sekiranya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Encik Najib mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dalam kes 1MDB itu, dan denda RM50 juta yang dikenakan sebagai syarat pengampunan bersyaratnya dibayar.

Bagaimanapun, Tan Sri Muhammad Shafee berkata, Encik Najib setakat ini tidak mampu membayar denda RM50 juta tersebut memandangkan akaun bank miliknya telah dibekukan.

Ia termasuk akaun bank yang menurutnya digunakan untuk menerima gaji sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen sebelum ini.

Umno pada 18 September lalu turut melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak, untuk membantu beliau melunaskan bayaran denda berkenaan.

“Setakat hari ini, Datuk Seri Najib sendiri tidak mampu membayarnya,” katanya kepada pemberita selepas prosiding mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri itu, pada 25 September, lapor Berita Harian Malaysia.

Sementara itu, Tan Sri Muhammad Shafee berkata, Encik Najib juga belum menerima surat rasmi pengampunan bersyarat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Yang di-Pertuan Agong sudah membuat keputusan secara prerogatif, orang yang paling mustahak ialah Datuk Seri Najib sebab beliau adalah orang yang dikenakan penjara, dikenakan penahanan rumah.

“Tetapi sehingga ke hari ini beliau belum mendapat surat itu. Kita tak tahu kenapa surat itu begitu lambat, penjara (Jabatan Penjara) pun tidak dapat,” katanya.

Anak keempat Encik Najib, Cik Nooryana Najwa, turut mengesahkan pihak keluarga juga belum menerima sebarang maklumat daripada Jabatan Penjara, termasuk mengenai pengubahsuaian rumah bagi membolehkan tahanan rumah itu dilaksanakan.