Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Najib lepas tanpa bebas kes ubah wang haram dana SRC RM27j

Jun 20, 2025 | 12:34 PM
Najib Tun Razak, pengubahan wang haram, dana, SRC International
Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak (tengah) meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Jun, selepas dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram RM27 juta ($8.14 juta) dana syarikat SRC International (SRC). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Jun, daripada tiga tuduhan pengubahan wang haram RM27 ($8.14 juta) dana syarikat SRC International (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur K Muniandy, membenarkan permohonan DNAA yang dikemukakan bekas presiden Umno itu sebelum ini, atas alasan kes berkenaan berlanjutan begitu lama, manakala pihak pendakwaan dianggap tidak bersedia memulakannya dalam masa terdekat.

“Penantian terlalu lama untuk perbicaraan ini menjadi satu beban berpanjangan bagi tertuduh dan menafikan haknya untuk mendapat penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya,” kata beliau.

Hakim Muniandy turut menjelaskan kes terhadap Encik Najib tergantung selama enam tahun, iaitu sejak 2019 tanpa sebarang keterangan saksi dikemukakan.

“Tiada sebarang prejudis terhadap pihak pendakwaan dengan perintah pelepasan ini yang dalam istilah umum dikenali sebagai DNAA kerana pendakwaan masih boleh meneruskan kes ini apabila mereka sudah bersedia,” katanya, lapor Malaysiakini.

Untuk rekod, kes yang dibicarakan itu berbeza daripada satu lagi kes melibatkan Encik Najib dan SRC.

Bagi kes ini, Encik Najib yang juga bekas Menteri Kewangan mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta pada 3 Feb 2019.

Beliau didakwa menggunakan wang tersebut untuk kegiatan tidak mengikut undang-undang di AmIslamic Bank Bhd yang terletak di Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, pada 8 Julai 2014.

Ahli politik berusia 71 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan berdepan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kededuanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam Encik Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata tidak adil untuk membiarkan anak guamnya terumbang-ambing tanpa tarikh perbicaraan yang jelas apabila pihak pendakwaan tidak dapat menentukan bila mereka akan dapat menyusun barang bukti bagi kes daripada perbicaraan SRC sebelum ini.

Encik Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor, selepas disabitkan bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram pada Julai 2020.

Pertuduhan itu melibatkan dana SRC bernilai RM42 juta.

Beliau dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan itu pada 2020, namun diberikan pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan pada Januari 2024, menjadikan hukuman penjara dipendekkan kepada enam tahun dan denda RM50 juta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg