Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Najib gagal gugur tiga tuduhan ubah wang haram RM27j dana SRC

Mahkamah Tinggi tetapkan 20 Jun ini keputusan sama ada Encik Najib diberikan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA)
Jun 11, 2025 | 2:25 PM
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak. - Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, gagal dalam usahanya menggugurkan tiga tuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta ($8.2 juta) yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Encik Mohd Ashrof Adrin Kamarul, memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Jun bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dihantar Encik Najib pada 31 Julai 2023.

Encik Ashrof Adrin berkata dengan keputusan itu, pendakwaan akan meneruskan perbicaraan kes berkenaan. Prosiding berlangsung di hadapan Hakim K Muniandy.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Encik Najib pada prosiding itu berhujah agar anak guamnya diberikan DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) atas alasan perintah tersebut ketika ini merupakan yang terbaik dan paling sesuai diberikan kepada bekas pemimpin itu.

Beliau berkata tuduhan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibuat pada 2019 di mana ia sudah mengambil masa selama enam tahun, manakala representasi pula dikemukakan pada 31 Julai 2023.

Bagaimanapun, Encik Mohd Ashrof membantah permohonan DNAA tersebut kerana pihaknya bersedia mengendalikan kes.

Menurutnya sebanyak 807 bahan bukti telah dikemukakan dalam perbicaraan SRC sebelum ini (di hadapan Hakim Datuk Mohd Nazlan Ghazali) dan pendakwaan memerlukannya untuk digunakan pada perbicaraan kes dana RM27 juta tersebut.

Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan 20 Jun ini bagi keputusan sama ada Encik Najib diberikan DNAA daripada tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC itu atau meneruskan perbicaraan kes.

Hakim Muniandy menetapkan tempoh seminggu bagi membolehkan beliau meneliti penghujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee yang mewakili Encik Najib dan hujah pendakwaan diketuai Encik Mohd Ashrof, lapor MalaysiaGazette.

Pada 3 Februari 2019, Encik Najib, 71 tahun, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank miliknya, pada 8 Julai 2014.

Tuduhan terbabit adalah mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kededuanya, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, kes melibatkan dana RM27 juta adalah berasingan daripada perbicaraan penyelewengan RM42 juta yang juga melibatkan SRC.

Encik Najib sebelum ini sudah disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC itu dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ($63.8 juta) atas kesalahan penyelewengan itu.

Bagaimanapun Encik Najib memperoleh pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya, selain pengurangan denda yang perlu dibayar, pada 2 Februari 2024.

Pengurangan hukuman itu diputuskan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan mantan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah, sekali gus menyaksikan Encik Najib bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Denda yang perlu dibayar Encik Najib juga dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg