KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, masih belum menjelaskan cukai pendapatan hampir RM1.7 bilion ($490 juta) yang perlu dibayarnya.
Kementerian Kewangan Malaysia menyatakan perkara itu belum diselesaikan secara muktamad, dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengambil tindakan sewajarnya.
“Prosiding masih diteruskan dan perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 29 Julai 2024 di Mahkamah Tinggi Insolvensi di Kuala Lumpur,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Parlimen kepada soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen (AP) Jelutong, Encik RSN Rayer, lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Rayer dalam soalannya meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada Najib sudah menjelaskan tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM1.7 bilion yang terhutang kepada LHDN.
Pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan Najib mesti menjelaskan RM1.69 bilion cukai yang belum dibayar, selepas menolak rayuannya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadapnya.
Kerajaan Malaysia, melalui LHDN, memfailkan saman terhadap Najib pada 25 Jun 2019, meminta beliau menjelaskan cukai yang belum dibayar dengan faedah 5 peratus setahun dari tarikh penghakiman, serta kos dan pelepasan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman ringkas dimasukkan terhadap Najib dalam samannya untuk mendapatkan semula RM1.69 bilion cukai daripada LHDN bagi tempoh antara 2011 dengan 2017.
Najib diarah membayar jumlah itu.
Terdahulu Berita Harian pada 2 Februari melaporkan Najib yang juga bekas Presiden Umno diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya, selain pengurangan denda yang perlu dibayar selepas disabitkan atas kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada 2022.
Pengurangan hukuman itu diputuskan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong Ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, sekali gus menyaksikan bekas perdana menteri keenam itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Dengan keputusan itu denda yang perlu dibayar oleh Najib juga dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg