Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah tolak permohonan Najib jalani baki hukuman penjara di rumah

Jul 3, 2024 | 4:44 PM
Najib Razak diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (dua dari kanan) yang hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai untuk keputusan permohonan semakan kehakiman bagi membolehkan mantan Perdana Menteri Malaysia itu menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan di rumah.
Najib Razak diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (dua dari kanan) yang hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai untuk keputusan permohonan semakan kehakiman bagi membolehkan mantan Perdana Menteri Malaysia itu menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan di rumah. - Foto EPA-EFE

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Tun Razak gagal mendapat kebenaran untuk meneruskan semakan kehakimannya untuk dibenarkan menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.

Ini susulan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum (perintah tambahan) yang didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya beliau menjalani baki tempoh pemenjaraan di rumah.

Hakim Amarjeet Singh memutuskan semua afidavit yang mendakwa kewujudan Titah Adendum berkenaan hanyalah khabar angin semata-mata.

Mahkamah memutuskan afidavit daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak menunjukkan pengetahuan secara langsung mengenai kewujudan perintah tambahan Lembaga Pengampunan itu.

Datuk Amarjeet berkata kededua afidavit itu sebaliknya hanya memetik kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang dikatakan mendakwa kewujudan Titah Adendum itu.

Dalam penghakimannya, beliau berkata Najib selaku pemohon semakan kehakiman tidak pernah cuba mendapatkan Tengku Datuk Zafrul untuk mengesahkan kewujudan titah adendum itu sejak awal lagi.

Datuk Amarjeet juga memutuskan dua afidavit Najib sendiri yang menyokong tindakan kebenaran semakan kehakiman hanya mengandungi “kenyataan kosong tanpa menyebut sumber dan kepercayaannya tentang kewujudan perintah tambahan itu”.

“Saya dapati kedua-dua afidavit adalah, pada tahap tertinggi, khabar angin tulen,” katanya sebelum menolak permohonan itu tanpa perintah mengenai kos, lapor Malaysiakini.

Datuk Ahmad Zahid sebelum ini dilapor mengesahkan kewujudan Titah Adendum yang diberikan kepada Najib, bagi membolehkannya menghabiskan baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.

Presiden Umno itu juga berkata bahawa beliau menyokong dakwaan wujudnya Titah Adendum itu menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April.

Beliau mendakwa mengetahui mengenai kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 itu selepas dimaklumkan oleh Tengku Datuk Zafrul dalam satu pertemuan di rumahnya pada 30 Januari lalu.

Datuk Zahid ketika itu mendakwa melihat dan membaca Titah Adendum itu dan melihat dengan jelas semua kandungannya dan mengesahkan bahawa ia merupakan sebahagian daripada proses pengampunan Najib, yang merupakan tambahan kepada titah utama, kedua-duanya bertarikh 29 Januari 2024.

Terdahulu Berita Harian pada 2 Februari lalu melaporkan Najib yang juga bekas Presiden Umno diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya, selain pengurangan denda yang perlu dibayar selepas disabitkan atas kesalahan penyelewengan dana RM42 juta ($12.08 juta) milik SRC International Sdn Bhd pada 2022.

Pengurangan hukuman itu diputuskan Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong Ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri Keenam itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Dengan keputusan itu denda yang perlu dibayar oleh Najib juga dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg