SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, menegaskan beliau tidak pernah mengenali, berjumpa dan sama sekali tidak pernah mengarahkan pembunuhan terhadap wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
“Saya tidak pernah mengenali, tidak pernah berjumpa dan tidak pernah memberi arahan sedemikian, dan saya tidak terbabit dalam pembunuhan Altantuya.
“Saya sudah menyatakan ini dalam rekod dan bersumpah laknat (mubahalah) beberapa kali,” kata Encik Najib di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, pada 11 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Najib menjawab soalan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang bertanya sama ada beliau mengenali atau pernah berjumpa dengan Altantuya dan mengarahkan pembunuhannya, sepertimana yang tertulis di dalam bab 42 buku, My Story: Justice In The Wilderness, yang ditulis bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Pada 11 Oktober adalah tarikh mula prosiding saman dikemukakan Encik Najib terhadap Tan Sri Tommy berkaitan kenyataan fitnah membabitkan pembunuhan Altantuya dalam buku, My Story: Justice in the Wilderness.
Turut disaman ialah GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd (GB) sebagai defendan.
Encik Najib berkata sebagai bekas peguam negara, Tan Sri Tommy sepatutnya mengesahkan kesahihan sumber maklumatnya sebelum menerbit dan mengedarkan buku itu secara meluas di dalam dan di luar negara.
“Selepas meninggalkan Jabatan Peguam Negara (AGC) (Tan Sri) Tommy menulis kandungan yang prejudis terhadap saya sepanjang perbicaraan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) sedang berjalan.
“Dia (Tan Sri Tommy) membuat tuduhan terhadap saya dengan menulis buku yang diterbitkan oleh defendan kedua dan diedarkan di dalam dan di seluruh dunia dengan membangkitkan pembunuhan Altantuya, dan menyatakan bahawa saya berada di belakangnya, jelas bahawa dia berniat mencemarkan nama baik saya,” kata Encik Najib.
Ketika ditanya sama ada beliau mengenali Encik Abdul Razak Baginda, Encik Najib berkata beliau mengenali individu itu sebagai penganalisis pertahanan yang bekerja di bawah pentadbirannya pada masa itu.
Beliau berkata Encik Abdul Razak terbabit dalam membeli kapal selam daripada pembuat kapal selam Perancis, membabitkan perjanjian berbilion dolar untuk Kementerian Pertahanan dalam urusan pembelian dua kapal selam Perancis, dikenali sebagai Scorpene.
Ketika ditanya hubungan Encik Abdul Razak dengan Altantuya, Encik Najib berkata beliau tidak pernah mengetahui secara terperinci mengenainya, namun hanya mendapat tahu mengenai hubungan ‘romantis’ antara mereka selepas membaca laporan media.
Perbicaraan akan bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Khadijah Idris, pada 30 Jun 2025.
Pada 2021, Encik Najib mengemukakan saman terhadap Tan Sri Tommy dan penerbit buku itu kerana mendakwa mereka memfitnahnya apabila mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya.
Encik Najib berkata dirinya dipaparkan dengan meluas dalam bab 42 dan bab lain buku berkenaan yang menyatakan beliau mengarahkan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Inspektor Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar untuk membunuh Altantuya dan mengelirukan rakyat mengenai kes itu bagi menutup perbuatannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg