KUALA NERUS: Setiap kali isterinya yang sedang sarat mengandung keluar rumah untuk urusan luar, Encik Talhah Mahmud memang risau dan tidak sedap hati.

Tanpa diduga, rasa berat hati itu membawa pada realiti isteri tersayang, Cik Syafirah Salim, dan anak sulung mereka, Ahmad Asyraf, cedera dalam satu kemalangan motosikal pada 31 Julai lalu.

“Saya juga terbabit kemalangan kerana terlanggar kucing ketika menunggang motosikal pulang dari masjid sekitar lima bulan lalu, dan kini masih menjalani rawatan fisioterapi berikutan mengalami keretakan pada lutut, selain terpaksa berjalan menggunakan tongkat serta menghabiskan banyak masa di rumah saja,” cerita Encik Talhah, 61 tahun, kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Encik Talhah merupakan suami kepada Cik Syafirah, 36 tahun, yang cedera apabila motosikal ditunggang bersama anak sulung, Ahmad Asyraf, 13, terbabit nahas dengan sebuah motosikal dipercayai ditunggang peserta RXZ Members 8.0 di Simpang Empat, Kampung Buluh Gading.

Encik Talhah berkata kejadian kira-kira 11.50 pagi berlaku ketika Cik Syafirah yang sedang hamil tujuh bulan anak ketiga mereka, dalam perjalanan bersama anak sulung dari rumah mereka di Kampung Tanjung Sabtu, menuju ke Pasar Batu Enam untuk membeli keperluan harian.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa setiba di lokasi, sebuah motosikal didakwa merempuh motosikal jenis Honda Beat yang ditunggang isteri dan anaknya, lalu berlaku tumpahan minyak dan terbakar.

“Saya difahamkan bahawa badan anak sulung cedera melecur 60 peratus dari bahagian pinggang hingga ke bawah akibat kejadian itu, dan kini berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, untuk menjalani pembedahan,” katanya ketika dihubungi BHM.

Encik Talhah mengaku sejujurnya beliau tidak sanggup melihat rakaman video tular yang memaparkan isteri dan anak terbabit dalam kemalangan itu, namun tetap menabahkan hati.

Beliau turut berdoa agar dua insan tersayang itu segera sembuh dan kandungan isterinya tidak terjejas akibat kemalangan berkenaan.

“Saya tidak salahkan mana-mana pihak. Saya juga reda dengan kejadian itu serta menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan pihak berkuasa,” katanya sambil memaklumkan hajat isteri untuk menyediakan hidangan makan tengah hari tidak kesampaian susulan kemalangan itu.

Terdahulu, media melaporkan motosikal ditunggang dua beranak itu terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dipercayai peserta RXZ Members 8.0 di Simpang Empat, Kampung Buluh Gading, kira-kira 11.50 pagi tadi.

Kejadian itu menyebabkan motosikal yang ditunggang Cik Syafirah hangus 100 peratus, manakala motosikal RXZ pula terbakar kira-kira 80 peratus dan penunggangnya dilaporkan cedera pada tangan.