Topik diikuti
Pergi ke BHkuNegara menua: Warga emas M’sia pilih kegiatan, meniti usia sihat sejahtera
Negara menua: Warga emas M’sia pilih kegiatan, meniti usia sihat sejahtera
Usaha perlu diperkukuh sistem jagaan kesihatan, perlindungan sosial dan sokongan masyarakat
Negara menua: Warga emas M’sia pilih kegiatan, meniti usia sihat sejahtera
Malaysia kini memasuki fasa baharu apabila peningkatan bilangan warga emas mengubah struktur demografi negara, sekali gus meletakkannya dalam kategori negara yang semakin menua.
Berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikongsi Kementerian Ekonomi, penduduk berusia 65 tahun dan ke atas dijangka meningkat daripada 8 peratus pada 2025 kepada 10.4 peratus menjelang 2035.
Mengikut Dasar Warga Emas Negara yang ditetapkan Malaysia, warga emas ialah individu berusia 60 tahun ke atas.
Namun berdasarkan takrif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sesebuah negara diklasifikasikan sebagai negara menua apabila penduduk berusia 65 tahun dan ke atas melebihi 7 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Justeru, dengan jumlah penduduk yang dianggar 34.5 juta orang, Malaysia kini melepasi had berkenaan mengikut piawaian antarabangsa.
Malaysia juga dijangka beralih kepada status negara menua (aged society) menjelang 2048 apabila peratusan penduduk berusia 65 tahun dan ke atas melebihi 14 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Namun, di sebalik angka yang menunjukkan Malaysia mendepani status negara menua, muncul satu realiti baharu apabila semakin ramai warga emas memilih atau terpaksa menjalani kehidupan bersendirian.
Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) terkini yang dilaporkan Kementerian Kesihatan, mendedahkan cabaran sistemik apabila 18.8 peratus daripada sejumlah 4.1 juta penduduk warga emas di Malaysia tinggal bersendirian.
Ini meningkatkan kebimbangan terhadap cabaran dalam memastikan golongan itu menjalani proses dan tahap penuaan secara sihat dan sejahtera, merangkumi aspek sosial, kognitif, psikologi, fizikal serta kesihatan secara keseluruhan.
TINGGAL SENDIRI
Berita Harian (BH) menemui beberapa warga emas berbeza latar belakang dan kisah hidup, yang memilih untuk tinggal bersendirian kerana enggan menyusahkan anak-anak dan keluarga, namun mempunyai takrifan dan cara tersendiri bagi memastikan diri menua dengan sihat.
Menjalani kehidupan bersendirian selepas berpisah dengan isteri tidak pernah menjadi alasan buat warga emas, Raja Abd Halim Raja Kamaruzaman, yang juga bapa tunggal berusia 75 tahun itu untuk memilih melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.
Beliau yang ketika ini mengambil jurusan Pengajian Islam di Universiti Terbuka Malaysia (OUM), memilih tinggal seorang diri di rumah yang disewakan rakannya di Kampung Sungai Tangkas, Kajang, Selangor.
Raja Abd Halim berkata keputusan itu dibuat atas kerelaannya sendiri kerana enggan membebankan tujuh anak yang masing-masing sudah berkeluarga.
“Suka atau tidak, fasa kehidupan berseorangan ini harus sedia dilalui oleh setiap individu terutama yang bergelar ibu bapa.
“Anak-anak memang ada mengajak saya tinggal bersama mereka, tetapi saya lebih selesa tinggal sendiri. Saya tak mahu ganggu mereka kerana masing-masing ada keluarga dan komitmen sendiri, jadi saya usaha sibukkan diri dengan pelbagai aktiviti bermanfaat,” katanya kepada BH.
Selain menuntut ilmu yang banyak dibantu oleh rakannya, Encik Isagani Suradin, yang menyumbang dana, beliau juga banyak mengisi masa dengan membaca, bermain muzik dan meluangkan masa bersama rakan baiknya sejak kecil, Encik Abd Aziz Abd Majid, 75 tahun.
“Sunyi itu memang ada, tetapi saya sibuk belajar. Jadi masa saya terisi. Saya juga suka membaca dan bermain muzik. Saya ada keyboard (papan nada) sendiri.
“Selepas tamat pengajian sarjana pada Mei 2027 nanti, saya berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) pula,” katanya.
Mantan penasihat perniagaan yang pernah mengetuai kumpulan perniagaan sebuah syarikat di Jakarta, Indonesia, itu berkata keputusan menyambung pengajian yang bermula dengan ijazah beberapa tahun lalu didorong keinginan meningkatkan diri dan menuntut ilmu selagi diberi kesempatan.
“Saya belajar bukan sebab bosan atau sunyi. Saya belajar sebab mahu menebus kesilapan yang pernah saya lakukan dahulu.
“Saya mahu mati dalam keadaan mencari ilmu. Bagi saya, belajar penting untuk memastikan otak warga emas seperti saya terus aktif dan sentiasa berfikir,” katanya.
Raja Abd Halim menambah, kemudahan pembelajaran secara dalam talian memudahkan warga emas sepertinya untuk kembali ke institusi pengajian tinggi, selain mendapat sokongan penuh daripada anak-anak.
Beliau yang menjadi pelajar paling berusia dalam kelas turut bersyukur apabila memperoleh keputusan akademik yang membanggakan sepanjang pengajiannya.
Selain memastikan minda terus aktif, Raja Abd Halim berkata, menjaga kesihatan juga menjadi keutamaan apabila meningkat usia.
Beliau yang menghidap tekanan darah tinggi berkata pengalaman dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru pada Disember 2025 menjadikannya lebih berdisiplin dalam menjaga kesihatan.
“Apabila umur meningkat, kesihatan mesti jadi keutamaan.
“Saya tak pernah culas janji temu dengan doktor dan sentiasa pastikan mendapat tidur yang mencukupi kerana saya percaya tidur yang cukup antara kunci kesihatan,” katanya.
Bagi Raja Abd Halim, usia tua bukan alasan untuk berhenti menyumbang kepada masyarakat atau mengejar cita-cita yang masih berbaki dan beliau berharap lebih ramai warga emas berani mengisi kehidupan dengan kegiatan bermanfaat, sama ada melalui pekerjaan, pembelajaran atau hobi yang diminati.
Bagi Cik Norhamisah Ismail pula, melepasi usia 60 tahun bukan petanda beliau perlu memperlahankan langkah, sebaliknya membuka ruang untuk meneroka lebih banyak peluang dan minat yang sebelum ini ingin diceburi.
Mantan jurulatih bahasa Inggeris dan wakil jualan di sebuah bank antarabangsa itu mengakui bersyukur masih dikurniakan kesihatan yang baik, apatah lagi selepas melihat ramai rakan seusianya telah pergi menghadap Ilahi lebih awal.
“Saya gembira kerana berjaya sampai ke umur 60 tahun. Alhamdulillah, Allah masih beri saya kesihatan yang baik untuk menikmati kehidupan,” kata Cik Norhamisah, yang berasal dari Pahang dan pernah melalui fasa perceraian.
Meskipun tanpa cahaya mata, beliau yang mesra disapa sebagai Cik Misha tidak kekok atau terasing tinggal bersendirian.
Malah kehidupannya tidak pernah terasa kosong kerana masa diisi dengan pelbagai kegiatan yang bukan sahaja menjadi sumber pendapatan, malah memberi kepuasan diri.
Selain mengusahakan perniagaan kecil-kecilan menjual tudung dan sambal, beliau turut mengajar kelas pertuturan bahasa Inggeris secara dalam talian, menghasilkan lukisan untuk dijual, berenang, menghadiri kelas agama, serta aktif menulis buku.
Beliau kini dalam proses menyiapkan sebuah buku berjudul, How I Reclaimed My Life: From Broken to Brave, yang menghimpunkan kisah perjalanan hidup serta pengalaman bangkit daripada pelbagai cabaran.
“Bagi saya, apabila kita memasuki usia emas, penting untuk kita terus aktif demi kesihatan mental dan fizikal.
“Saya suka menulis kerana ia memberi ruang untuk saya berkongsi pengalaman hidup dengan orang lain.
“Saya harap buku yang akan saya keluarkan nanti dapat memberi semangat kepada mereka yang sedang melalui fasa sukar, termasuk perceraian,” katanya.
Malah, Cik Norhamisah bersama adiknya, Cik As Ismail, 50 tahun, mula berjinak-jinak menganjurkan kelas sosial dalam kumpulan kecil yang memberi ruang kepada peserta berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakaran bagi membangunkan potensi diri.
Menurut Cik Norhamisah, disiplin yang diterapkan sejak belajar di sekolah berasrama penuh banyak membentuk gaya hidupnya sehingga hari ini, terutama rutin bangun dan mandi di awal pagi, selain percaya pemakanan yang baik membantu mengekalkan kesejahteraan fizikal serta emosi warga emas sepertinya.
Cik Norhamisah percaya usia emas bukan alasan untuk berhenti mencabar diri atau menunggu masa berlalu, sebaliknya peluang untuk terus berkembang selagi dikurniakan kesihatan.
“Bagi saya, sementara kita masih bernafas, jalankanlah tanggungjawab kita sebagai hamba Allah dengan sebaik-baiknya.
“Selagi masih diberi peluang, teruskan belajar, berkongsi dan memberi manfaat kepada orang lain,” ujarnya.
KELEBIHAN TINGGAL BERKUMPULAN
Berbeza pula dengan Cik Fauziah Talib, 71 tahun, dari Kampung Serkam, Melaka, yang memilih untuk tinggal di asrama Madrasah At-Taufiqiah di Port Dickson, Negeri Sembilan, yang mempunyai kemudahan untuk warga emas sepertinya.
Walaupun adiknya pernah mengajaknya tinggal bersama keluarga, Cik Fauziah, yang tidak pernah berumah tangga itu memilih untuk menetap di pusat berkenaan kerana percaya kehidupan di situ lebih sesuai dengan keperluan dan rutin hariannya.
“Saya tak mahu menyusahkan adik-beradik. Kalau duduk dengan mereka mungkin kurang aktiviti. Di sini saya ada ramai kawan dan macam-macam program setiap hari,” katanya kepada BH.
Cik Fauziah berkata beliau mula mengenali maahad tahfiz itu melalui seorang rakan yang mengajaknya menghadiri kuliah agama, sebelum mengambil keputusan untuk menetap di situ apabila melihat kemudahan yang disediakan memenuhi keperluannya.
“Saya seronok sebab setiap hari ada peluang belajar agama. Kawan-kawan di sini pun ramai, jadi tak rasa sunyi,” katanya.
Menurut Cik Fauziah, walaupun menetap di maahad tahfiz, hubungan dengan keluarga tidak pernah terputus.
Beliau yang mempunyai 39 anak saudara berkata, ahli keluarga sentiasa datang menziarahinya, malah beliau juga bebas pulang pada hujung minggu atau keluar bersama mereka.
“Mereka semua memahami keputusan saya. Kalau nak balik atau keluar dengan keluarga, tiada masalah,” katanya.
Selain mengikuti kelas agama, Cik Fauziah berkata penghuni turut disediakan pelbagai kegiatan lain termasuk senamrobik, sukaneka dan rombongan ke beberapa destinasi bagi memastikan mereka kekal aktif.
“Setakat ini saya memang gembira tinggal di sini. Tiada apa yang saya risaukan dan, insya-Allah, kalau diizinkan saya mahu terus tinggal di sini hingga ke akhir hayat,” katanya.
Dengan status Malaysia menuju negara menua, kian banyak pusat jagaan dan kegiatan warga emas tumbuh setiap hari sama ada ditubuhkan oleh kerajaan, pihak swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Data daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan setakat 2025, sebanyak 12 institusi warga emas kelolaan kerajaan, merangkumi 10 Rumah Seri Kenangan (RSK) dan dua Rumah Ehsan (RE) tersedia.
RSK diwujudkan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu warga emas yang tidak mempunyai waris, hidup dalam keadaan yang sejahtera serta mempunyai penjagaan, perlindungan dan rawatan yang sempurna.
RE pula ditubuhkan untuk memberi jagaan, rawatan dan perlindungan kepada warga emas yang uzur, daif dan tidak berwaris agar dapat terus hidup dalam suasana yang selesa dan tenteram.
JKM juga menguruskan 217 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang beroperasi di seluruh Malaysia sehingga setakat awal 2026.
Golongan warga emas itu boleh datang secara harian untuk mengikuti pelbagai kegiatan dan riadah secara berkumpulan yang disediakan.
Jumlah pusat jagaan dan kegiatan warga emas yang dikendalikan pihak swasta dan NGO juga terus meningkat, dengan sehingga kini, terdapat sekitar 465 pusat jagaan berdaftar di seluruh Malaysia, dengan 376 diuruskan secara swasta dan selebihnya oleh NGO.
Pemilik Madrasah At-Taufiqiah, Cik Mariyam Saad, 61 tahun, dan suami, Encik Ammeran Mad, 61 tahun, menawarkan pendekatan berbeza apabila menyediakan kediaman berkonsep pembelajaran agama bagi wanita warga emas yang masih mampu menguruskan diri.
Cik Mariyam berkata inisiatif yang bermula pada 2017 itu lahir daripada hasrat beliau dan suaminya untuk menyediakan ruang kepada warga emas mengisi usia senja dengan menuntut ilmu agama dalam suasana kemasyarakatan yang saling menyokong.
Menurutnya, konsep itu bermula dengan sebuah rumah yang diwakafkan di kawasan madrasah dijadikan tempat warga emas mengikuti kelas agama sebelum bertambah dan berkembang menjadi kediaman tetap kepada penghuni.
“Kami mahu warga emas melalui usia tua dengan lebih bermakna dan mengakhiri kehidupan dengan ilmu agama. Ini jihad kecil saya dan suami,” katanya.
Buat masa kini, terdapat seramai 30 penghuni menetap di madrasah itu, selain warga setempat yang hadir setiap hari untuk mengikuti kelas pengajian agama.
Menurut Cik Mariyam, pihaknya menerima wanita ibu tunggal yang berusia bawah 75 tahun serta masih sihat dan mampu menguruskan diri sendiri kerana konsep yang dibawa lebih menjurus kepada ‘rumah ilmu’ berbanding pusat jagaan.
Cik Mariyam turut berharap masyarakat tidak cepat menghukum anak-anak yang menghantar ibu bapa ke pusat jagaan atau kediaman seperti itu.
“Jangan anggap mereka membuang ibu bapa. Ramai yang membuat keputusan itu kerana mahu memastikan ibu bapa mereka berada di tempat yang selamat, mempunyai kawan, mengikuti aktiviti dan kelas agama ketika anak-anak keluar bekerja.
“Ahli keluarga juga bebas datang menziarah pada bila-bila masa. Yang penting, warga emas tidak keseorangan di rumah dan kehidupan mereka terisi dengan aktiviti bermanfaat,” katanya
PRASARANA PERLU DITAMBAH
Di Lembah Klang, Attia Care Centres (Attia), salah sebuah pusat jagaan warga emas swasta yang bermula dengan operasi di sebuah rumah teres dua tingkat pada 2010, kini berkembang kepada tujuh cawangan termasuk satu lagi di Ipoh, Perak.
“Ketika mula beroperasi, pusat jagaan warga emas tidak sebanyak sekarang.
“Tetapi semakin ramai keluarga mendapatkan perkhidmatan seperti ini kerana anak-anak bekerja dan tidak dapat memberi penjagaan sepenuh masa kepada ibu bapa.
“Apabila jumlah penghuni semakin meningkat, kami berpindah ke banglo empat tingkat dan kini mempunyai lebih 200 penghuni di semua cawangan,” kata salah seorang Pengarah dan Pembantu Perubatan di Attia, Cik Shahira Ahmad Mazlan.
Menurut Cik Shahira, kira-kira 90 peratus penghuni berusia 60 tahun ke atas, manakala selebihnya terdiri daripada individu berusia 30-an tahun yang terlantar sakit atau tidak mampu menguruskan diri.
Beliau berkata trend penghuni juga berubah apabila semakin ramai warga emas Melayu memilih atau dihantar ke pusat jagaan berbanding sebelum ini yang didominasi masyarakat Cina.
“Di cawangan Klang misalnya, kira-kira 70 peratus penghuni adalah Melayu.
“Ada yang memerlukan penjagaan kejururawatan sepanjang masa, ada juga pesara yang memilih tinggal di sini kerana mahukan aktiviti harian dan teman sebaya,” katanya.
Selain perkhidmatan kejururawatan 24 jam, penghuni turut mengikuti fisioterapi, pemeriksaan doktor secara berkala, senaman berkumpulan dan kegiatan sosial.
“Bagi saya, rumah jagaan warga emas bukan lagi satu pilihan, tetapi sudah menjadi satu keperluan apabila Malaysia menuju negara menua,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Psikososial dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai, berkata Malaysia perlu mempercepatkan usaha memperkukuh sistem penjagaan kesihatan.
Ia termasuk perlindungan sosial dan sokongan masyarakat bagi menghadapi peningkatan penduduk warga emas yang dijangka terus bertambah dalam tempoh dua dekad akan datang.
Menurut beliau, walaupun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar termasuk Rangka Tindakan Penuaan Negara 2025-2045 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pelaksanaannya masih berada pada peringkat awal.
“Malaysia menunjukkan komitmen yang baik melalui pelbagai dasar dan pelan tindakan, namun masih terdapat jurang antara perancangan di peringkat Pusat dengan pelaksanaan di peringkat masyarakat,” katanya kepada BH.
Beliau berkata peningkatan jumlah warga emas bukan sahaja meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan dan penjagaan jangka panjang, malah memberi tekanan kepada struktur keluarga serta golongan bekerja yang perlu menyara ibu bapa yang kian berusia.
Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia perlu memperkukuh ekosistem penjagaan jangka panjang, memperluas model penjagaan berasaskan masyarakat serta menggalakkan konsep penuaan aktif supaya warga emas terus mampu hidup berdikari dan menyumbang kepada masyarakat.
“Bersedia menjadi negara menua bukan hanya soal menambah kemudahan penjagaan, malah, membina sebuah masyarakat yang mampu menyokong warga emas untuk terus hidup sihat, aktif dan bermaruah,” katanya.
“
“Bagi saya apabila kita memasuki usia emas, penting untuk kita terus aktif demi kesihatan mental dan fizikal. Saya suka menulis kerana ia memberi ruang untuk saya berkongsi pengalaman hidup dengan orang lain.”“
“Jangan anggap mereka membuang ibu bapa. Ramai yang membuat keputusan itu kerana mahu memastikan ibu bapa mereka berada di tempat yang selamat, mempunyai kawan, mengikuti aktiviti dan kelas agama ketika anak-anak keluar bekerja.”“
“Ketika mula beroperasi, pusat jagaan warga emas tidak sebanyak sekarang. Tetapi semakin ramai keluarga mendapatkan perkhidmatan seperti ini kerana anak-anak bekerja... rumah jagaan warga emas bukan lagi satu pilihan, tetapi sudah menjadi satu keperluan apabila Malaysia menuju negara menua.”