Menteri ingatkan pasangan Islam hindari ‘coach cerai’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri ingatkan pasangan Islam hindari ‘coach cerai’

Jan 21, 2026 | 5:20 PM

Menteri ingatkan pasangan Islam hindari ‘coach cerai’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Coach cerai, agama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan. - Foto fail

Umat Islam di Malaysia diingatkan agar tidak membiasakan diri menggunakan khidmat ‘coach cerai’, kerana perkhidmatan tersebut berisiko mengheret pasangan bermasalah rumah tangga ke jurang perceraian, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

‘Coach cerai’ merujuk kepada individu yang mendakwa diri sebagai kaunselor perkahwinan dan menawarkan nasihat rumah tangga, termasuk kepada pasangan yang sudah berhasrat untuk berpisah.

Dr Zulkifli menyeru masyarakat Islam agar merujuk kepada institusi yang berkuasa apabila berdepan kemelut rumah tangga.

“Bagi isu melibatkan ‘coach cerai’ ini, sekiranya perlakuan mana-mana individu didapati melanggar mana-mana peruntukan undang undang, individu tersebut boleh disabitkan hukuman di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

“Isu ‘coach cerai’ ini memberi pengajaran bahawa memberi nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian memerlukan ilmu, kefahaman dan bimbingan yang tepat.

“Nasihat yang tidak bersandarkan syariat atau datang daripada pihak yang tidak berkelayakan bukan saja boleh mengelirukan, malah berpotensi merosakkan rumah tangga dan menjejaskan kesejahteraan emosi pasangan,” kata Dr Zulkifli dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, pada 21 Januari.

Dr Zulkifli menjawab soalan Ahli Parlimen, Encik Shaharizukirnain Abd Kadir (Perikatan Nasional-Setiu) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian tegas terhadap trend penggunaan khidmat ‘coach cerai’ di media sosial.

Dr Zulkifli menekankan masyarakat perlu sedar bahawa Islam menekankan pendekatan berhemah melalui islah dan rundingan yang adil sebelum mengambil sebarang tindakan drastik.

Jelas beliau dalam Islam, takhbib yang merujuk perbuatan hasutan atau fitnah bertujuan memisahkan suami isteri atau meruntuhkan institusi perkahwinan, dianggap dosa besar dan sangat dikecam kerana mengkhianati ikatan suci perkahwinan.

“Ia melibatkan campur tangan pihak ketiga yang berniat jahat untuk merosakkan hubungan rumah tangga, sama ada melalui kata-kata, perbuatan atau fitnah untuk menimbulkan ketidakpercayaan dan pertengkaran,” katanya.

Dr Zulkifli berkata, mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa seperti kaunselor bertauliah dan Mahkamah Syariah, bukan saja melindungi hak dan tanggungjawab suami isteri, malah menjamin setiap keputusan dibuat dengan penuh hikmah.

“Menerusi pendekatan itu juga, setiap masalah diselesaikan berpandukan syariat, sekali gus memberi manfaat jangka panjang,” katanya.

Individu yang dikenali sebagai ‘coach cerai’ bukan sahaja mengiringi Uqasha ke Mahkamah Syariah bagi menguruskan perceraiannya dengan pelakon, Kamal Adli, malah pernah muncul dalam video di TikTok menjelaskan kemelut rumah tangga Uqasha.

Perkara ini mengejutkan masyarakat, menimbulkan persoalan tentang peranan ‘coach cerai’ dan menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Kamal Adli ketika itu turut meminta Uqasha berbincang secara bersemuka untuk menyelesaikan perselisihan, bukannya mendedahkan hal peribadi mereka di media sosial dan kepada pihak luar, termasuk mendapatkan khidmat ‘coach cerai’.

Namun, individu ‘coach cerai’ itu menegaskan, beliau hanya memberikan bimbingan pasca perceraian, berdasarkan keperluan semasa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg