Sistem monarki unik berasaskan Adat Perpatih di Negeri Sembilan kini berdepan ujian terbesar apabila berlaku perebutan kuasa diraja yang mencetus pertikaian terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Apa yang disifatkan sebagai konflik yang belum pernah berlaku itu tercetus menyusuli tindakan empat Undang atau pembesar negeri, yang mengisytiharkan penyingkiran Tuanku Muhriz pada 19 April.

Empat Undang terbabit ialah Undang Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Datuk Akhirulzaman Maarof Mat Rashad (Jelebu); Datuk Muhammad Abdullah (Johol); dan Datuk Abdul Rahim Yasin (Rembau).

Usaha menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta oleh empat Undang itu dibuat atas dakwaan berlaku salah laku oleh Yang di-Pertuan Besar itu yang tidak diperincikan.

Namun, perkembangan itu segera dipertikaikan kerajaan negeri apabila Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, menyifatkan tindakan Undang berkenaan sebagai tidak sah.

Menurut Datuk Aminuddin, ini mengambil kira kedudukan salah seorang daripada Undang terbabit iaitu Datuk Mubarak, yang telah dilucutkan jawatan pada 13 Mei 2025 oleh mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

Ketegangan terus memuncak apabila kumpulan Undang berkenaan kemudian menggesa penyingkiran Datuk Aminuddin, sekali gus memperlihatkan pertembungan terbuka antara institusi adat dan pentadbiran negeri.

Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhamad Fuad Abdul Karim, berkata di Negeri Sembilan, pelantikan Yang di-Pertuan Besar sememangnya terletak di bawah kuasa empat Undang terbabit.

Ia berbeza daripada negeri-negeri lain yang mengamalkan sistem warisan di mana anak lelaki Sultan akan mewarisi takhta.

Katanya, daripada sudut adat, pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar memang boleh dibuat oleh empat Undang terbabit, namun yang menjadi pertikaian ketika ini adalah sama ada proses sebelum pengisytiharan itu sah atau tidak.

Beliau menjelaskan pertikaian sebenar kini tertumpu kepada status Datuk Mubarak, yang didakwa telah dilucutkan jawatan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada beliau masih mempunyai kuasa sebagai Undang ketika pengisytiharan dibuat.

Katanya, secara asasnya, perlucutan jawatan Undang boleh dilakukan melalui mesyuarat, namun terdapat dakwaan wujud kecacatan dalam proses tersebut yang menyebabkan kesahihannya dipertikaikan.

Justeru, katanya, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) wajar bersidang semula bagi meneliti semula proses berkenaan mengikut adat dan undang-undang Negeri Sembilan yang ditetapkan.

“Jadi penyelesaian utama adalah untuk menentukan sama ada perlucutan jawatan itu sah atau tidak. Perkara ini hanya boleh diputuskan dalam kerangka adat Negeri Sembilan sendiri.

“Jika didapati perlucutan jawatan Undang itu sah, maka pengisytiharan empat Undang yang menurunkan takhta Tuanku Muhriz adalah tidak sah,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Tambah beliau, hakikat sebenar konflik berkenaan adalah lebih kompleks kerana melibatkan struktur legitimasi adat yang berlapis dan tidak boleh dinilai semata-mata melalui logik linear.

Tumpuan kini terarah kepada majlis pembukaan Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 yang akan dirasmikan Tuanku Muhriz pada 23 April.

Ini kerana kebiasaannya, majlis berkenaan akan dihadiri empat Undang terbabit serta Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri. 

Namun, berikutan konflik takhta yang sedang berlaku di negeri itu, kehadiran barisan pembesar adat berkenaan tidak dapat dipastikan.

Sementara itu, pengamal undang-undang berpandangan Majlis Raja-Raja boleh berperanan secara tidak formal sebagai pemudah cara untuk membantu menyelesaikan konflik institusi diraja di Negeri Sembilan yang bergolak ketika ini. 

Peguam Encik Zakwan Adenan berkata ini kerana kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, tidak berada pada kedudukan untuk campur tangan dalam urusan institusi beraja Negeri Sembilan.

“Justeru, walaupun Majlis Raja-Raja bukan badan penghakiman dalam isu ini, ia boleh dilihat sebagai platform tertinggi dari sudut institusi beraja untuk membantu meredakan keadaan sekiranya konflik berpanjangan, melalui pendekatan musyawarah dan kebijaksanaan institusi,” katanya kepada BH.

Beliau, bagaimanapun, berpandangan keadaan semasa belum mencapai tahap krisis Perlembagaan, sebaliknya lebih kepada perselisihan dalaman yang masih boleh diselesaikan melalui mekanisme adat sedia ada.

“Buat masa ini, isu ini dilihat masih di peringkat awal dan berada dalam ruang penyelesaian dalaman oleh pihak berkuasa menurut adat.

“Campur tangan pihak luar, termasuk Majlis Raja-Raja mahupun untuk diangkat kes ini ke Mahkamah Sivil belum menjadi suatu keperluan daripada sudut undang-undang,” katanya lagi.