Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NGO gesa siasat mangsa sindiket tipu kerja mati di Myanmar

Oct 17, 2023 | 12:58 PM
MANGSA SINDIKET: Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28 tahun, dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Bangkok.
MANGSA SINDIKET: Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28 tahun, dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Bangkok. - Foto DATUK HISHAMUDDIN HASHIM

PUTRAJAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) menggesa siasatan punca kematian rakyat Malaysia, Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab, yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia ketika dalam tahanan imigresen Myanmar.

Setiausaha Agong MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata pihaknya meminta ahli keluarga membuat laporan polis, Kedutaan Malaysia di Myanmar dan Kementerian Luar bagi menggesa siasatan telus untuk mengetahui punca sebenar.

Beliau berkata Rabu lalu mangsa ada menghubunginya bagi mendapatkan bantuan dan pihaknya meminta wakil badan bukan kerajaan (NGO) di Thailand untuk menyelamatkan mangsa ketika ditahan.

Katanya, mangsa dibawa ke pusat imigresen di Myanmar untuk urusan dokumentasi dan selepas itu beliau dilaporkan meninggal dunia disebabkan serangan jantung.

“MHO ada menghubungi ahli keluarga beliau dan mereka memaklumkan arwah tiada rekod penyakit jantung.

“Perkara ini menimbulkan tanda tanya sama ada benar atau tidak punca kematian disebabkan serangan jantung ataupun ada perkara lain yang ingin disembunyikan pihak berkuasa Myanmar,” katanya seperti dilapor Berita Harian Malaysia.

Allahyarham Muhammad Izzat, 28 tahun, dari Kuantan, Pahang, dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan diperdaya untuk ke Bangkok, Thailand, pada 7 Oktober lalu sebelum dibawa ke Myanmar.

Beliau kemudiannya diselamatkan pihak NGO selepas meminta bantuan MHO dan kemudiannya diserahkan kepada pihak imigresen Myanmar untuk tujuan dokumentasi.

Bagaimanapun, Encik Muhammad Izzat didakwa meninggal dunia ketika dalam tahanan di pusat imigresen pada 14 Oktober lalu.

Datuk Hishamuddin berkata MHO akan mengadakan satu pertemuan bersama ahli keluarga Allayarham bagi membincangkan tindakan selanjutnya.

Katanya pihaknya juga akan melancarkan tabung bagi membantu menguruskan jenazah termasuk menghantar ahli keluarga Allahyarham ke Myanmar.

“Setakat ini masih belum ada keputusan sama ada jenazah akan dibawa pulang ke tanah air atau dikebumikan di negara berkenaan dan ia bergantung kepada keputusan ahli keluarga,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg