KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar Indonesia, mendakwa sebanyak 21 syarikat yang mempunyai kaitan dan gabungan dengan kumpulan perniagaan dari Malaysia terbabit dalam kes kebakaran hutan dan tanah di republik itu, bagi tempoh Januari hingga September 2026.

Dapatan itu sebahagian daripada laporan analisis pemetaan bertajuk, ‘Who Are Behind the Fires?’ (Siapakah di Sebalik Kebakaran?) yang dikeluarkan oleh Eksekutif Nasional NGO, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI).

Menurut laporan berkenaan, data satelit mencatat sekurang-kurangnya 30,927 titik panas di seluruh Indonesia sepanjang sembilan bulan pertama 2026.

Hampir 50 peratus daripada jumlah itu dilaporkan berada di dalam kawasan konsesi operasi syarikat perladangan kelapa sawit dan perhutanan.

Antara wilayah mencatatkan kepekatan titik panas tertinggi termasuk Kalimantan Barat iaitu 9,529 dan Kalimantan Tengah sebanyak 7,141 yang mengakibatkan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) di kawasan terjejas berada pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.

Analisis itu mendedahkan sekurang-kurangnya 21 syarikat konsesi di Indonesia yang dikesan mempunyai titik panas atau kejadian kebakaran merupakan anak syarikat atau sekutu kepada kumpulan gabungan perniagaan asal Malaysia.

Di samping syarikat berkaitan Malaysia, laporan WALHI turut mendedahkan bahawa sebahagian besar konsesi berisiko tinggi lain turut dikuasai oleh modal asing dan konglomerat yang mempunyai entiti induk atau pemegang saham berdaftar di Singapura, Hong Kong, mahupun wilayah perlindungan cukai seperti British Virgin Islands dan Samoa.

Sementara itu, pada 5 Oktober lalu, NGO Greenpeace Indonesia dan Pantau Gambut mendakwa syarikat perladangan dari Malaysia dan Singapura ialah antara 20 entiti yang terbabit dalam kebakaran hutan berdasarkan set data sumber jerebu antara 1 Ogos dengan 1 Oktober lalu.

Menurut laporan itu, entiti Indonesia yang sama juga dikenal pasti dalam laporan 2019 kerana terbabit dalam kebakaran di tanah milik mereka.

Justeru WALHI menegaskan isu kebakaran hutan dan tanah di Indonesia tidak boleh dilihat sekadar kesilapan teknikal atau kecuaian di peringkat syarikat pemegang permit tempatan semata-mata.

Sebaliknya, ia adalah masalah struktural di peringkat kumpulan perniagaan induk yang mengawal dasar operasi dan memperoleh manfaat ekonomi daripada penguasaan tanah berkenaan.

Sehubungan itu, NGO berkenaan mendesak pihak berkuasa dan kementerian berkaitan agar mengenakan tindakan tegas.

Tindakan itu termasuk penilaian semula permit, sekatan pentadbiran, penggantungan operasi serta pembatalan permit konsesi terhadap syarikat yang didapati berulang kali terbabit dalam kebakaran di kawasan kawalan mereka.

Jelasnya, corak pengulangan titik panas di bawah pelbagai anak syarikat yang bernaung di bawah kumpulan perniagaan yang sama membuktikan ini bukanlah kejadian terpencil akibat kecuaian individu di lapangan.

Ia adalah isu struktural yang mencerminkan sejauh manakah komitmen serta sistem kawalan dalaman syarikat induk benar-benar dikuatkuasakan di peringkat operasi.

Tindakan penguatkuasaan tidak lagi boleh berhenti di peringkat anak syarikat atau permit di lapangan semata-mata, sebaliknya kebertanggungjawapan sebenar perlu dituntut hingga ke peringkat kumpulan korporat induk, pemilik manfaat di sebalik tabir serta agensi kerajaan yang bertanggungjawab.

Ini demi memastikan ketelusan dan pemulihan ekosistem yang mampan untuk masa depan.