PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditumpaskan polis Selangor minggu lalu kerana memakai pakaian seragam mirip angkatan tentera, sedang dalam usaha merekrut keahlian di seluruh negara.
Menggelar diri mereka sebagai Pertubuhan Skuad Khidmat Darat, Laut dan Udara (Paskad), kumpulan itu mendakwa tumpuan utamanya adalah untuk menyediakan perkhidmatan menyelamat dan bantuan, walaupun tidak mempunyai sebarang hubungan sah dengan mana-mana agensi kerajaan atau cawangan tentera.
Puluhan video yang disiarkan di TikTok menunjukkan ketuanya, seorang lelaki yang mengaku sebagai ‘Datuk Seri’ dan ‘ketua pesuruhjaya’ kumpulan itu, menyeru lebih ramai rakyat Malaysia untuk mendaftar sebagai ahli dan membeli pakaian seragam rasminya.
Dalam video itu, individu terbabit berkata keahlian kumpulan itu semakin meningkat dan terdapat rancangan untuk mempunyai ambulans dan pasukan penyelamat khas untuk mengembangkan perkhidmatannya.
Beliau juga menggesa penggubal undang-undang untuk menyokong kumpulannya, lapor The Star.
Terdapat juga video kegiatan kumpulan itu termasuk konvoi motosikal, kelas dron dan penyertaannya dalam misi mencari dan menyelamat orang hilang bersama anggota agensi kerajaan pada 2024.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata dengan akronim yang hampir serupa dengan pasukan khas elit Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia – Paskal (Pasukan Khas Laut) dan Paskau (Pasukan Khas Udara) – orang ramai boleh diperdaya untuk mempercayai kumpulan itu ada kaitan dengan tentera.
“Kami memandang serius perkara ini kerana adalah menjadi kesalahan bagi NGO seperti Paskad mempamerkan pakaian seragam yang serupa dengan pasukan keselamatan Malaysia dan boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai dan mungkin disalahgunakan.
“Kami sedang mengumpul risikan termasuk memastikan sama ada pendaftarannya dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) adalah sah, kekuatan keahliannya dan jika pemimpinnya menjual pangkat dan jawatan.
“Kami juga sedang menyiasat jika mereka telah melakukan jenayah lain,” kata Datuk Hussein sambil menambah bahawa beberapa anggota kumpulan itu telah disoal siasat oleh polis.
Kegiatan kumpulan itu terbongkar minggu lalu selepas polis menjumpai video anggotanya menghadiri satu majlis dengan memakai pakaian mirip seragam istiadat yang dipakai anggota polis dan tentera.
Datuk Hussein berkata kumpulan itu disiasat kerana menggunakan pakaian tentera tanpa kebenaran di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan dan bagi kesalahan lain yang didakwa di bawah Akta Pertubuhan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beberapa sumber menyatakan siasatan awal menunjukkan kumpulan itu ditubuhkan dua tahun lalu dan mempunyai 400 ahli daripada semua komuniti etnik. Polis turut mendapati sebuah lot kedai di Taman Subang Damai, Shah Alam, Selangor, digunakan sebagai pejabatnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg