Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Novelis Indonesia mahu perkukuh hubungan sastera dengan rantau Asean

Jun 16, 2025 | 4:29 PM
Malaysia, Indonesia, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, PBAKL, Festival Kesusasteraan Asean
Novelis Indonesia, Cik Okky Madasari, berpandangan Indonesia dan Malaysia seharusnya mempunyai hubungan dekat kerana hanya dengan sastera dan karya budaya sahaja, boleh membangunkan kefahaman lebih baik antara satu sama lain. - Foto BHM

KUALA LUMPUR: Hubungan sastera Malaysia dan Indonesia hari ini sudah tidak lagi seakrab dulu.

Malah bukan luar biasa apabila ada pembaca di Indonesia tidak lagi mengenali pengarang dari Malaysia.

Bagi novelis Indonesia, Cik Okky Madasari, hal ini menimbulkan kegelisahan dan menjadi titik tolak beliau menganjurkan Festival Kesusasteraan Asean sekitar 2014.

Cik Okky berkata ketika itu, beliau gelisah kerana pelajar Indonesia lebih mengenal penulis dari Korea Selatan berbanding karya yang ditulis oleh penulis di negara tetangganya.

Beliau, yang menjadi tetamu acara Bual Bicara Temu Mesra Reruai Tulus Kata@Pena sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 25 Mei, berkata antara lain, Festival Kesusasteraan Asean itu dibuat bagi menghimpunkan penulis dan karyawan dari seluruh rantau Asean, lapor Berita Harian Malaysia.

“Dengan adanya festival itu, penulis serta karyawan dari seluruh pelosok Asean dapat berkumpul, berjumpa untuk berkongsi idea serta pendapat mengenai sastera, budaya, isu-isu dalam demokrasi serta hak asasi manusia.

“Festival itu juga adalah sebahagian perjalanan budaya serta sejarah Asean, kita mahu sastera itu dicintai semua, dan bagi masyarakat serantau, festival seumpama itu boleh menyatukan kita,” katanya.

Dalam program yang dihoskan oleh Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr Mohamad Saleeh Rahamad itu, Cik Okky berpandangan Indonesia dan Malaysia seharusnya mempunyai hubungan dekat kerana hanya dengan sastera dan karya budaya sahaja, boleh membangunkan kefahaman lebih baik antara satu sama lain.

Malah tegasnya, hal itulah yang beliau perjuangkan sehingga ke hari ini.

Tambahnya, pada masa sama katanya, beliau yakin penulis-penulis di Malaysia juga mempunyai kesedaran yang serupa.

“Dalam perjalanan sejarah mana-mana bangsa, buku adalah suatu hal yang besar untuk membangunkan sebuah negara bangsa.

“Buku adalah senjata yang paling kuat untuk menyatukan masyarakat Asean dan membangunkan fahaman antarabangsa di Asia.

“Ia perlu diperjuangkan dan pada masa sama meminta supaya kerajaan bekerjasama supaya buku-buku yang ditulis pengarang dari dua negara iaitu Indonesia dan Malaysia dibaca di sekolah,” katanya.

Cik Okky berkata sastera mampu menjadi penghubung dua negara menerusi sosiobudaya, kebahasaan, kesusasteraan dan juga kesenian.

Nilai sastera tempatan melalui pemahaman mengenai warisan kesusasteraan dan bahasa menjadi teras identiti yang menjadi jambatan budaya antara dua negara serumpun.

Malah perkongsian sejarah serta warisan bahasa malah penulisan dalam bidang kebudayaan serta kesusasteraan berupaya menjadi bentuk hubungan baharu dua negara, sekali gus menjernihkan salah tafsir dan kesalahfahaman khususnya dalam konteks politik.

Selari dengan itu katanya, jika berkesempatan beliau akan sentiasa berkunjung ke Malaysia, malah kedatangannya pada edisi PBAKL pada 2025 adalah dalam rangka untuk menghantar buku ditulisnya yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Katanya, walaupun sebelum ini, buku berkenaan sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, namun sudah ramai pembaca dari Malaysia yang membacanya dalam bahasa asal iaitu bahasa Indonesia.

“Justeru dalam hal ini, saya merasakan ada hubungan yang sangat akrab di antara Indonesia dan Malaysia yang sebenarnya sudah terjalin sejak dari dahulu lagi.

“Pada zaman dahulu, penulis kita sering membaca karya antara satu sama lain, namun sekarang ia kian lama, kian renggang.

“Disebabkan itulah sekarang setiap kali mempunyai peluang saya akan datang ke Malaysia kerana ini adalah sebahagian daripada misi untuk kembali merapatkan hubungan dua bangsa ini,” katanya

Katanya, dalam penemuan kajian yang dilakukannya, terdapat banyak karya-karya yang sejak dari dulu tidak boleh diterbitkan di Indonesia dan disebabkan itulah beliau terpaksa mendapatkannya dalam edisi Malaysia.

Hal ini, katanya, membuktikan, Indonesia dan Malaysia mempunyai hubungan sejarah yang cukup panjang.

Namun, sayang sekali sekarang ini katanya, orang Indonesia tidak lagi membaca karya-karya dari Malaysia.

“Ada pembaca di Malaysia yang sentiasa mencari bahan bacaan di Indonesia dan ini adalah salah satu cara rakyat di Malaysia menghargai serta mengambil tahu karya daripada luar.

“Saya percaya bahawa mengenal karya sastera dan budaya Malaysia juga adalah sebahagian daripada kepentingan strategi kita sebagai sebuah bangsa.

“Kita harus mengenal ‘tetangga’ kita dengan lebih baik, selain turut mengenali tradisi-tradisi intelektual antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata perkembangan sastera mutakhir di Indonesia terus berkembang, malah ramai pengarang dalam kalangan generasi muda terus dilahirkan dan mereka terus mencuba bereksperimen dalam karya.

Justeru katanya, hari ini jika membaca karya sastera Indonesia, ia lebih beragam iaitu ada yang berbicara mengenai kes perlanggaran hak mahupun politik yang juga memanfaatkan iklim kebebasan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg