AYER KEROH: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Cik Nurul Izzah Anwar, menyatakan komitmennya untuk terus kekal berjuang dalam parti itu, namun menerusi wadah berbeza.

Beliau menjelaskan setiap keputusan yang diambilnya, termasuk untuk melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR, tentunya tidak mampu memuaskan hati semua pihak.

“Saya memilih untuk terus berjuang, bukan secara terus dalam parti, tapi menerusi laluan masyarakat Madani. Bagi sesetengah orang, adalah tidak boleh diterima apabila saya tewas pada 2022 (dalam Pilihan Raya Umum).

“Bagi sesetengah orang pula, adalah tidak boleh diterima bahawa saya menang pada 2025 (pemilihan parti) dan bagi yang lain, mereka hanya tidak dapat menerima bahawa saya akan pergi pada 2026.

“Kamu tidak boleh memuaskan hati semua orang, tetapi kamu hanya boleh kekal setia kepada diri sendiri,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, pada 14 Ogos.

Sebelum ini, Cik Nurul Izzah dilapor menyatakan hasrat berundur sebagai pemimpin nombor dua parti, namun Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuaratnya memutuskan untuk tidak menerima peletakan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti itu.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil, sebaliknya berkata MPP PKR memutuskan memberi cuti kepada Cik Nurul Izzah bermula selepas Kongres Nasional PKR, dengan jawatan itu kini dipangku oleh Naib Presiden parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Di pentas sama, Cik Nurul Izzah berkata PKR tidak mampu menjadi organisasi yang kuat jika wujud dua nakhoda dalam parti yang mengemudi satu kapal, atau ada tangan ghaib membentuk struktur kuasa tersembunyi di sebalik kuasa yang ada.

Cik Nurul Izzah berkata beliau menjalankan amanah selaku ‘outgoing’ (bakal meninggalkan jawatan) Timbalan Presiden yang mahukan masa depan parti yang mempunyai kepimpinan sehaluan.

Beliau berkata parti itu juga tidak mampu kuat sebagai organisasi selagi tenaga pemimpin dan ahlinya dihabiskan untuk menghadapi pertelingkahan dalaman.

“Setiap jam (masa) yang kita gunakan untuk berlawan, bertelagah sesama sendiri, adalah jam yang tidak kita gunakan untuk memenangi hati rakyat.

“Jadi saya fikir fokus kita, membulatkan tekad kepada agenda merakyatkan ekonomi, bersaing dalam melakukan kebaikan,” katanya.

Turut hadir pada perasmian itu ialah Ketua Wanita PKR, Cik Fadhlina Sidek; dan Ketua AMK, Encik Muhammad Kamil Munim.