Puteri reformasi, Cik Nurul Izzah Anwar, menepati ramalan apabila memenangi jawatan Timbalan Presiden, mendahului penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli, dalam pemilihan pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 23 Mei.
Jawatan paling kontroversi itu dimenangi mantan Naib Presiden PKR itu dengan jumlah undian sebanyak 9,803 undi. Datuk Rafizi hanya meraih 3,866 undi.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, selepas perasmian Kongres Nasional PKR 2025 oleh pengasas dan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, pada 23 Mei malam.
Jawatan Presiden kekal di tangan Datuk Anwar yang tidak dicabar bagi kedudukan itu.
Empat jawatan Naib Presiden pula dimenangi oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Encik Chang Lih Kang.
Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek, pula mempertahankan jawatan Ketua Wanita PKR menewaskan pencabarnya, Ahli Parlimen Ampang (Selangor), Cik Rodziah Ismail.
Jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula dimenangi calon tunggal iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Encik Muhammad Kamil Abdul Munim, selepas bekas penyandangnya, Encik Adam Adli Abdul Halim, mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan.
Selain itu, 20 lagi calon memenangi pengundian bagi jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat antaranya Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; mantan Ketua AMK, Encik Adam Adli; dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Encik Chan Ming Kai.
Barisan baru kepimpinan Pusat PKR itu akan mengemudi parti bagi tempoh 2025-2028.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg