Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar buka peluang buat semua, tidak pilih bulu

Harap lebih 30,000 ahli parti dapat pilih kepimpinan baru terbaik
May 23, 2025 | 5:38 PM
Parti Keadilan Rakyat, PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Angkatan Muda Keadilan, Johor Bahru
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (bersongkok), bersalaman dengan perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR ketika hadir mengundi untuk pemilihan pimpinan Pusat parti itu di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru, pada 23 Mei. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Di sebalik debaran dan ketegangan sepanjang tempoh kempen, proses pemilihan pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 secara fizikal di Johor Bahru pada 23 Mei, berjalan tenang sehingga tempoh pengundian ditutup pada 5 petang.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersamaan lebih 30,000 ahli parti itu di seluruh Malaysia menunaikan tanggungjawab mengundi, mengharapkan barisan kepimpinan baru yang dipilih adalah yang terbaik untuk membantunya mengemudi parti.

Beliau yang juga Perdana Menteri Malaysia tiba di Hotel Berjaya Waterfront yang turut menjadi tempat berlangsungnya Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, kira-kira 12 tengah hari, dengan diiringi isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR.

Mengenai pemilihan itu, Datuk Anwar menjelaskan beliau membuka peluang luas buat semua calon bertanding dan tidak memilih bulu, malah meluluskan semua permohonan calon yang sudah melalui tapisan dan melepasi prosedur ditetapkan bagi mengelak sebarang pertikaian.

“Kalau luluskan sebahagian, nanti akan jadi masalah. Semua yang dihantar ke pejabat dan sampai ke meja saya, saya luluskan.

“Tiada isu kerana ia melalui tapisan dari ibu pejabat termasuk semakan latar belakang seperti status bankrap dan salah laku,” terangnya.

Beliau turut menegaskan syor yang diutarakan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang mahu kuasa Presiden PKR membenarkan ahli baru bertanding dalam pilihan raya dan pemilihan parti dimansuhkan, akan dibincangkan pada mesyuarat parti itu nanti.

Datuk Rafizi sebelum ini mengutarakan saranan itu dengan alasan mengelak PKR dibanjiri individu yang hanya mahukan jawatan.

Pemilihan Pusat PKR berlangsung serentak dengan Kongres Nasional PKR 2025 di Johor Bahru, yang menghimpunkan hampir 10,000 ahli parti itu di beberapa lokasi sekitar bandar raya itu.

Kemuncak acara perasmian oleh Datuk Anwar berlangsung pada 23 Mei malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.

Pemilihan parti itu bagi menentukan barisan baru kepimpinan Pusat bagi sesi 2025-2028, dengan keputusan tidak rasmi dilaporkan dikeluarkan lewat 23 Mei (laporan BH.sg), manakala keputusan rasmi pula dijangka diumumkan pada 24 Mei.

Puteri sulung Datuk Anwar, Cik Nurul Izzah, bertanding jawatan Timbalan Presiden, mencabar penyandangnya, Datuk Rafizi.

Turut dipertandingkan ialah empat jawatan Naib Presiden dan 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, termasuk jawatan Ketua Wanita dan AMK.

Cik Nurul Izzah menarik perhatian ramai apabila beliau mengunjungi kededua lokasi pengundian di Hotel Berjaya Waterfront dan Pusat Konvensyen Danga Bay, untuk memerhatikan proses pengundian.

Sementara itu kehadiran Datuk Rafizi yang hadir untuk mengundi di hotel yang sama sekitar 4 petang mengundang tumpuan ahli dan media yang berada di situ.

Ketibaan Menteri Ekonomi itu sejam sebelum tempoh tamat mengundi, menjawab spekulasi nakal bahawa beliau mungkin tidak hadir untuk mengundi serta perasmian Konvensyen Nasional PKR oleh Datuk Anwar.

Ahli Parlimen Pandan (Kuala Lumpur) itu awalnya dijemput merasmikan Kongres AMK dan Wanita pada 22 Mei malam, namun menolak pelawaan itu menerusi surat kepada Datuk Anwar dengan tempatnya kemudian diganti Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh.

Ketua AMK, Encik Adam Adli Abdul Halim, pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres itu pada pagi 23 Mei menjelaskan, tiada isu berkecil hati apabila ada jemputan tidak menghadiri acara berkenaan.

“Memang kita diberitahu bahawa beliau tidak dapat memenuhi jemputan, jadi kita teruskan (majlis perasmian) dengan Setiausaha Agung. Tidak ada kecil hati,” ujarnya.

Kongres Nasional PKR dan pemilihan parti tiga tahun sekali itu yang paling gah dan sengit pada kali ini, dengan status PKR sebagai pemerintah dan kerajaan Persekutuan, pasca Pilihan Raya Umum Ke-15, pada 2022.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg