Topik diikuti
Pergi ke BHkuObjek disangka mayat bayi di Skudai rupanya bangkai kucing
Objek disangka mayat bayi di Skudai rupanya bangkai kucing
Objek disangka mayat bayi di Skudai rupanya bangkai kucing
KUALA LUMPUR: Kebimbangan penduduk di sebuah kawasan perumahan di Skudai, Johor, berhubung dakwaan terdapat mayat bayi ditanam, akhirnya terjawab apabila hasil siasatan pihak berkuasa mendapati objek itu adalah bangkai seekor kucing berbalut kain.
Perkara itu dikongsikan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Cik Marina Ibrahim, ketika beliau membuat lawatan ke kawasan berkenaan, pagi tadi.
Cik Marina berkata beliau dimaklumkan perkara itu oleh seorang penduduk, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Terkejut kita lahai pagi ini. Buat lawatan kawasan tengok isu setempat. Tiba-tiba mak cik ini hampiri kita orang dan memaklumkan ada orang tanam bayi. Satu kejiranan bercakap mengenai ini.
“Kita pun minta pandangan polis kawasan. Yalah... bukan tak pernah berlaku kisah orang tanam bayi secara diam-diam.
“Tapi akhirnya apabila dikorek, rupa-rupanya (bangkai) kucing yang dibalut dengan kain. Mak cik pun boleh tenanglah tidur malam nanti,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook pada 2 Jun.
Cik Marina menjelaskan walaupun kejadian itu mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak, ia menunjukkan kepentingan sikap prihatin masyarakat dan kesediaan penduduk melaporkan kegiatan mencurigakan di kawasan kejiranan mereka.
Beliau berkata penduduk mempunyai sebab untuk berasa curiga kerana individu yang dikaitkan dengan kejadian itu dikatakan sering bergaduh dan menimbulkan isu.
“Mungkin ada yang fikir, benda kecil. Namun, ia adalah gambaran tanggungjawab ambil kisah perihal sekeliling sebagai jiran.
“Yalah, macam mak cik ini dan kejiranan lain tahu jiran terbabit selalu bergaduh dan timbulkan isu.
“Jadi, kecurigaan dia pun ada asasnya. Alhamdulillah, bukan seperti yang disangkakan,” katanya.
