ALOR SETAR (Kedah): Ketua kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Rames’ didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah, pada 2 Jun atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terbabit antara 2024 dengan 2025.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas tertuduh, Ramesh Govindarajan, 37 tahun, dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Mengikut kertas pertuduhan, Ramesh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Rames’, yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat Kampung Sungai Divisyen dalam daerah Kuala Muda, Kedah, antara Januari 2024 dengan 4 Disember 2025.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, lapor Harian Metro.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Cik Vatchira Wong Rui Fern, manakala tertuduh diwakili peguam, Encik S Shatish.

Pendakwaan kemudian memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sungai Petani, Kedah, berikutan kes berkaitan kumpulan jenayah terbabit turut dibicarakan di mahkamah berkenaan.

Pada masa sama, peguam mewakili tertuduh turut meminta anak guamnya ditahan di Penjara Alor Setar bagi memudahkan anggota keluarga melawatnya.

Hakim Sharmila kemudian membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar dan tertuduh diperintah ditahan di Alor Setar.

Pada 25 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam satu kenyataan, memaklumkan pihaknya berjaya menahan lelaki yang juga ketua kumpulan jenayah terancang dan dikenali sebagai ‘Geng Rames’ yang aktif di kawasan SG Divisyen, Sungai Petani, Kedah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata suspek ditahan dalam Op Tiga pada 22 Mei lalu, hasil kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand.

Menurutnya, suspek diberkas ketika dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand, menuju ke Hyderabad, India, sebelum dibawa pulang ke Malaysia berikutan memiliki waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani, selain mempunyai Notis Merah Interpol.

Pada 30 Disember 2025, seramai 20 ahli ‘Geng Rames’ yang aktif dalam sindiket jenayah terancang di Kedah dan Pulau Pinang turut didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani.

Mengikut pertuduhan, semua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang itu di alamat Kampung Sungai Divisyen dalam daerah Kuala Muda, Kedah, antara Januari 2024 dengan 4 Disember 2025.