KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa yang berpindah akibat ombak besar dan air pasang di dua daerah di Terengganu meningkat kepada 299 setakat 8 pagi 14 Januari berbanding 80 pada 13 Januari.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan di daerah Kemaman seramai 285 mangsa daripada 73 keluarga berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Serbaguna Kampung Kuala Kemaman dan Balai Raya Kampung Geliga Pantai sejak Jumaat lepas.
Di daerah Dungun, seramai 14 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bandar Paka sejak 13 Januari.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Azli Mohd Noor, berkata penutupan jalan dari kedua-dua arah di Pantai Seberang Takir kepada semua pengguna jalan raya bermula 12 Januari lalu sehingga suatu masa yang akan dimaklumkan kelak, lapor Berita Harian Malaysia.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta melaporkan jumlah kerugian kemudahan awam yang musnah susulan fenomena air pasang besar yang melanda negeri ini sejak 10 Januari lalu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Encik Ahmad Shah Muhamed, berkata kerajaan negeri belum menerima laporan kerugian kemusnahan kemudahan awam daripada semua PBT.
Bagaimanapun katanya tiada sebarang kerugian akibat kerosakan kemudahan awam, terutama yang dibina di tepi pantai dilaporkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif, turut mengesahkan tiada sebarang kerugian disebabkan kerosakan kemudahan awam dalam kawasan pentadbiran MBKT.
“Walaupun berlaku fenomena ombak besar, terutama di beberapa pantai dalam kawasan pentadbiran MBKT, tetapi limpahan air laut tidak menjejaskan kemudahan awam, termasuk kawasan rekreasi,” katanya, lapor Harian Metro.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg