Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor paling teruk terjejas banjir, 4 lagi negeri turut terkesan

Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang dan Pontian menjadi empat daerah yang dilanda banjir di Johor
Jan 13, 2025 | 4:43 PM
Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, melawat mangsa banjir di Kota Tinggi, Johor.
Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, melawat mangsa banjir di Kota Tinggi, Johor. - Foto FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang dan Pontian menjadi empat daerah yang dilanda banjir di Johor, selepas menerima episod hujan lebat tahap bahaya (merah) sejak 11 Januari.

Setakat 4 petang 13 Januari, jumlah mangsa yang berlindung di 35 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor melebihi 3,300 orang.

Selain Johor yang paling teruk terjejas banjir kali ini, negeri Sabah, Pahang, Terengganu dan Kedah turut dilanda bah dengan jumlah keseluruhan mangsa setakat 4 petang 13 Januari lebih 4,000 orang.

Dengan keadaan banjir yang agak buruk di Johor, seramai 38 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang terkesan terpaksa berpindah ke PPS di daerah Kota Tinggi; Kluang; Kulai; Pontian; Johor Bahru dan Pasir Gudang.

Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, sempat meluangkan masa melawat mangsa banjir di PPS dekat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota dan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) di Kota Tinggi, pada 13 Januari.

Dalam tempoh Johor dilanda banjir itu, tiga lelaki disahkan maut selepas pacuan empat roda mereka dihanyutkan arus deras ke kolam takungan banjir di ladang kelapa sawit di Ulu Sedili, Kota Tinggi, pada 11 Januari. Bagaimanapun pihak polis mengesahkan mereka bukan korban banjir.

Ketua Polis Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, berkata ketiga-tiga mangsa dipercayai baru selesai memancing dalam kejadian pada 3.35 petang itu.

Katanya, seorang mangsa awalnya berjaya diselamatkan, namun dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala usaha menyelamatkan dua lagi rakannya tidak berjaya kerana terperangkap dalam kenderaan dimasuki air.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat berterusan akan melanda beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan selatan serta barat Sarawak hingga 18 Januari ini.

Malah, Johor yang belum pulih daripada banjir, turut diramal mengalami gelombang kedua banjir mulai 15 hingga 18 Januari ini, berdasarkan analisis terhadap model ramalan cuaca terkini yang menunjukkan lonjakan monsun dijangka berlaku sepanjang tempoh berkenaan.

Dengan keadaan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengarahkan supaya pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dipercepatkan bagi mengurangkan kesan bencana banjir yang sering melanda negeri itu.

“Isu ini harus ditangani dengan segera dan lebih serius supaya kejadian banjir yang sama tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Sebagai contoh Taman Mawai di Kota Tinggi, sudah berdepan bencana banjir lebih 20 kali sejak 15 tahun lalu dan projek RTB daerah itu belum disiapkan sehingga kini.

Sementara itu di Terengganu, fenomena air pasang besar memaksa lima keluarga berpindah selepas air laut melimpah ke kawasan kediaman mereka di Kampung Geliga Baru, di Kuala Terengganu, pada 12 Januari.

Di Kota Marudu, Sabah, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pula membantu memindahkan 58 penduduk membabitkan 14 keluarga di Kampung Beliajung, yang terperangkap apabila rumah mereka dinaiki air.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg