Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gelombang ketiga banjir landa Kelantan, Terengganu

Hampir 1,500 mangsa banjir dicatatkan di dua negeri Pantai Timur itu; Sabah, Johor turut terjejas
Dec 30, 2024 | 4:56 PM
Tinjauan dari udara menunjukkan keadaan banjir yang melanda perkampungan di Hulu Terengganu, Terengganu, pada 30 Disember.
Tinjauan dari udara menunjukkan keadaan banjir yang melanda perkampungan di Hulu Terengganu, Terengganu, pada 30 Disember. - Foto BERNAMA

Kedatangan tahun baru 2025 suram buat penduduk di empat negeri terutama Kelantan dan Terengganu yang dilanda banjir gelombang ketiga sejak 29 Disember.

Hampir 1,500 mangsa banjir dicatatkan di dua negeri Pantai Timur itu selain Sabah dan Johor turut terjejas.

Kelantan paling teruk terkesan dengan 15 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di empat daerah iaitu Kuala Krai, Pasir Mas, Machang dan Tanah Merah dengan lebih 700 mangsa dipindahkan.

Di Terengganu daerah Setiu, Besut, Hulu Terengganu dan Kemaman yang terjejas menyaksikan lima PPS dibuka untuk menempatkan hampir 700 mangsa.

Johor turut terjejas banjir dengan sebilangan kecil 13 mangsa di Kota Tinggi, manakala daerah Semporna di Sabah mencatatkan 70 mangsa.

Bagaimanapun setakat 4 petang 30 Disember, banjir dilapor semakin mereda di Kelantan dan Terengganu dan sebilangan mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah.

Berdasarkan kemas kini di portal publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bacaan Sungai Golok dekat Rantau Panjang di Kelantan merekodkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu 9.53 meter (m).

Dua sungai lain turut melebihi bacaan paras amaran, manakala dua lagi melebihi paras berjaga-jaga.

Ketika banjir memburuk di Setiu, Terengganu, helikopter terpaksa digunakan bagi menghantar bekalan makanan dan keperluan lain ke beberapa kampung yang terputus hubungan di kawasan Langkap.

Barangan dihantar adalah bahan mentah seperti beras, gandum, air bersih dan pelbagai keperluan asas lain yang kesemuanya dianggarkan seberat 350 kilogram.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Nor Mahathir Muhamad, berkata pihaknya terpaksa menggunakan helikopter berikutan jalan utama ke kampung berkenaan ditenggelami air sedalam tiga meter sejak 29 Disember malam.

“Penerbangan (helikopter) menggunakan Agusta Aw 139 diketuai Kapten Rozaidi Ramli bersama tujuh kru termasuk pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Operasi penghantaran bekalan makanan itu bermula 10 pagi dan selesai pada 11.15 pagi,” katanya dalam kenyataan pada 30 Disember.

Fenomena banjir di Kelantan sejak 29 Disember terus membawa cabaran besar apabila berlaku dua kejadian tanah runtuh dan dua jalan utama terputus di jajahan Machang.

Di Kelantan, dua jalan terputus hubungan akibat ditenggelami air iaitu Jalan Persekutuan di FT 479 Jalan Kemuning-Bukit Belah dan jalan Negeri D16 Jalan Batu 30-Temangan di Machang dan melumpuhkan pergerakan penduduk setempat.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Encik Nik Soh Yaacoub, berkata dua kejadian tanah runtuh pula berlaku di Jalan Kota Bharu–Gua Musang berdekatan dengan Dataran Bukit Belah, Machang.

Keadaan cuaca dan banjir terkini juga menyebabkan pasukan keselamatan dibekukan cuti bagi memantau dan memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg