JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menggesa golongan muda di negeri itu agar memanfaatkan ruang tersedia bagi menyuarakan pandangan dan mengemukakan idea baharu demi membantu menyelesaikan isu masyarakat.

Menurutnya, generasi muda mempunyai peranan penting dalam membentuk pembangunan negeri hari ini, selain menjadi pemimpin pada masa hadapan.

“Kepada seluruh anak muda Johor, jangan takut untuk bermula, jangan takut untuk bersuara dan jangan takut membawa perubahan.

“Gunakan setiap peluang untuk menimba pengalaman, membina kemampuan dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Johor memerlukan anak muda yang bukan hanya mempunyai cita-cita besar, malah berani untuk mencapainya,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 September.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Malam Apresiasi Dewan Muda Johor (DMJ) 2026 di Iskandar Puteri bersama alumni dan ahli wadah berkenaan.

Menurut Datuk Onn Hafiz, DMJ yang bermula pada 2018 menyediakan ruang terbuka kepada anak muda daripada pelbagai latar belakang untuk membincangkan isu semasa dan membahaskan perkara berkaitan dasar negeri.

Wadah itu turut membantu membina kemahiran kepimpinan, komunikasi dan pemikiran kritikal dalam kalangan peserta.

Setakat ini, DMJ telah menghimpunkan 360 alumni dan ahli, termasuk 112 orang bagi sesi 2026/2027.

“Saya percaya mereka bukan sekadar pemimpin masa hadapan, malah mempunyai peranan penting dalam membentuk Johor hari ini.

“Sebab itu, ruang seperti DMJ mesti dimanfaatkan untuk berani bersuara, membawa idea baru dan mengangkat perkara yang benar-benar dekat dengan kehidupan serta masa depan generasi mereka,” katanya.

Datuk Onn Hafiz berharap wadah itu terus melahirkan anak muda yang matang dalam menyampaikan pandangan serta bersedia memikul tanggungjawab membangunkan negeri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah, berkata Kerajaan Johor telah meluluskan usaha penubuhan Persatuan Alumni DMJ.

Ia bertujuan menghimpunkan bakat dan suara anak muda serta memastikan sumbangan mereka kepada pembangunan negeri berterusan selepas tamat penggal.

Persetujuan itu diberikan oleh Menteri Besar Johor, memandangkan DMJ berjaya melahirkan ramai alumni berwibawa dalam pelbagai bidang sejak penubuhannya pada 2018.

“Kerajaan Johor berhasrat memastikan kesinambungan ini terus terpelihara, supaya pengalaman, jaringan dan semangat setiap generasi DMJ tidak terhenti selepas tamat penggal, sebaliknya terus menyumbang kepada pembangunan negeri,” ujar beliau.