JOHOR BAHRU: Perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum, agama dan budaya perlu terus dipelihara kerana ini menjadi asas keamanan, kestabilan serta kedaulatan Malaysia.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kepelbagaian yang dimiliki negara itu bukan penghalang, sebaliknya kekuatan yang menyatukan rakyat dalam mempertahankan tanah air.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook sempena Hari Malaysia pada 16 September.

“Hari Malaysia mengingatkan kita bahawa kekuatan negara terletak pada kesatuan dan kecintaan kita kepada tanah air.

“Kepelbagaian yang kita miliki bukanlah penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan kita untuk terus mempertahankan keamanan, kestabilan dan kedaulatan Malaysia,” katanya.

Hari Malaysia memperingati pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura di bawah sebuah negara baru.

Singapura kemudian berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965 dan menjadi sebuah negara merdeka.

Datuk Onn Hafiz berkata keharmonian yang dinikmati masyarakat Johor merupakan kekuatan yang perlu dipertahankan.

Walaupun memiliki latar belakang berbeza, rakyat Johor perlu terus berdiri sebagai satu keluarga, saling menghormati dan memahami serta berganding bahu memajukan negeri.

“Marilah kita menyemarakkan semangat cinta kepada negara, memperkukuh perpaduan dan menanam rasa kasih yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air ini.

“Semoga negara kita terus aman, berdaulat dan makmur, manakala Johor kekal teguh sebagai negeri maju dengan rakyat yang bersatu dan berjiwa besar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah, berkata kemerdekaan serta penyatuan negara diwarisi daripada pengorbanan dan kebijaksanaan generasi terdahulu.

Menurutnya, pembentukan Malaysia pada 1963 menjadi asas penyatuan masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya.

“Lebih enam dekad berlalu, semangat penyatuan itu terus menjadi tunjang kekuatan kita sebagai sebuah bangsa yang berbilang kaum, agama dan budaya, namun berkongsi satu tanah air. Kemerdekaan dan penyatuan yang kita nikmati hari ini tidak datang dengan mudah. Ia menjadi amanah kepada kita untuk terus dipelihara,” katanya.

Encik Mohd Hairi turut menyeru golongan muda supaya memahami sejarah negara dan memainkan peranan dalam mempertahankan keharmonian masyarakat.

“Kepada anak-anak muda, jadilah generasi yang menghargai sejarah, menjaga perpaduan dan membina masa depan Malaysia dengan penuh keyakinan. Dari Perlis hingga Sabah, kita tetap satu,” katanya.