Topik diikuti
Pergi ke BHkuBN pertaruh gabungan muka lama dan baharu pertahan Johor
BN pertaruh gabungan muka lama dan baharu pertahan Johor
20 muka baharu daripada 56 calon tanding semua kerusi DUN
BN pertaruh gabungan muka lama dan baharu pertahan Johor
Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan gabungan pemimpin berpengalaman dan muka baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai strategi mempertahankan mandat mentadbir negeri itu.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan senarai 56 calon yang akan bertanding bagi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), terdiri daripada 37 calon Umno, 15 calon Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan empat calon Kongres India Malaysia (MIC).
Daripada jumlah itu, seramai 36 adalah penyandang atau calon lama, manakala 20 lagi merupakan muka baharu.
Antara perubahan paling ketara ialah pengguguran penyandang DUN Serom yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Khairin-Nisa Ismail @ Md On.
Kerusi itu kini dipertandingkan oleh Ketua Puteri Umno Bahagian Ledang, Cik Nadhirah Afiqah Abdull Rahim, yang membuat penampilan sulung sebagai calon BN.
Turut menyaksikan perubahan ialah bekas Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, Encik K. Ravinkumar, yang berpindah daripada DUN Tenggaroh kepada DUN Kemelah.
Kerusi Tenggaroh pula akan ditandingi oleh Encik Mohd Youzaimi Yusof yang sebelum ini bertanding di DUN Endau pada PRN 2022.
Sembilan lagi anggota EXCO kerajaan negeri, termasuk Datuk Onn Hafiz, kekal mempertahankan kerusi masing-masing.
Mereka ialah Datuk Zahari Sarip (Buloh Kasap), Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir), Encik Mohd Fared Mohd Khalid (Semerah), Encik Ling Tian Soon (Yong Peng), Encik Lee Ting Han (Paloh), Encik Aznan Tamin (Tanjung Surat), Datuk Mohd Jafni Md Shukor (Bukit Permai) dan Encik Mohd Hairi Mad Shah (Larkin), manakala Datuk Onn Hafiz terus mempertahankan DUN Machap.
Senarai calon turut menyaksikan kemunculan beberapa muka baharu dalam MCA, antaranya Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA, Encik See Ann Giap, yang diletakkan di DUN Jementah.
Turut membuat penampilan sulung ialah Encik Chua Jian Boon di Layang-Layang, Encik Yap Zhi Peng di Mengkibol, dan Cik Teow Chia Ling di Puteri Wangsa.
MIC pula mempertaruhkan Encik V. Rugendran, 29 tahun, antara calon termuda BN, di DUN Kahang.
PRN kali ini juga menyaksikan beberapa perubahan pembahagian kerusi antara parti komponen BN.
DUN Layang-Layang yang sebelum ini diwakili Umno diserahkan kepada MCA, manakala DUN Tenggaroh yang sebelum ini ditandingi MIC, diberikan kepada Umno.
Sebagai pertukaran, MIC akan bertanding di DUN Kemelah dan Perling, dengan Encik Ravinkumar mewakili parti itu di Kemelah, manakala Encik Pannir Selvan Paliksina diletakkan di Perling.
Turut kembali ke gelanggang politik negeri itu ialah bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, yang dicalonkan di DUN Pasir Raja menggantikan penyandang, Cik Rashidah Ismail.
Datuk Adham sebelum ini pernah berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Raja dan dua penggal sebagai Ahli Parlimen Tenggara, namun tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi DUN Benut yang diwakilinya sebelum ini.
Kerusi berkenaan kini akan ditandingi oleh Setiausaha Kerja Umno, Datuk Mohd Sumali Reduan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 27 Jun, pengundian awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.
