Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat dari S’pura labur lebih $5.5b di JS-SEZ

Langkah majukan zon ekonomi termasuk usaha tambat projek utama dalam beberapa sektor penting
Oct 14, 2025 | 3:10 PM
Semasa berucap di Forum Pelaburan Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) Kedua yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 14 Oktober, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, mengetengahkan inisiatif JS-SEZ itu menawarkan lokasi unik untuk pelabur dan dibina berdasarkan kekuatan pelengkap kedua-dua ekonomi Singapura dan Malaysia.
Semasa berucap di Forum Pelaburan Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) Kedua yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 14 Oktober, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, mengetengahkan inisiatif JS-SEZ itu menawarkan lokasi unik untuk pelabur dan dibina berdasarkan kekuatan pelengkap kedua-dua ekonomi Singapura dan Malaysia. - Foto ZAOBAO

Syarikat-syarikat berpangkalan di Singapura telah membuat komitmen pelaburan berjumlah lebih $5.5 bilion di Johor sejak satu Memorandum Persefahaman (MOU) Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) ditandatangani pada Januari 2024.

Demikian kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.

Dalam memanfaatkan keyakinan yang kukuh dan momentum berterusan dalam JS-SEZ, beliau turut mengetengahkan tiga keutamaan penting dalam memajukan JS-SEZ.

Keutamaan itu meliputi usaha menambat projek utama dalam sektor penting seperti perkilangan maju, logistik, industri hijau dan perkhidmatan digital; memudahkan urusan perniagaan dengan merapikan peraturan dan aliran rentas sempadan; serta memastikan pertumbuhan terangkum dan peluang bagi syarikat kecil dan sederhana (SME).

“Apabila syarikat berbilang negara melabur di sini, mereka mewujudkan peluang bagi pembekal tempatan, syarikat logistik dan penyedia perkhidmatan untuk menyertai rantaian nilai serantau dan sejagat.

“Ini akan menjana manfaat ekonomi yang lebih luas, serta membantu kedua-dua ekonomi kita membina ekosistem perusahaan yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” kata beliau.

Encik Gan berkongsi butiran itu semasa berucap di Forum Pelaburan Bersama JS-SEZ Kedua, anjuran Singapura dan Malaysia, yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 14 Oktober.

Forum tersebut menyediakan wadah bagi pengusaha perniagaan meneroka bagaimana JS-SEZ dapat membentuk semula peluang perniagaan, membuka pasaran baru dan memacu pelaburan strategik.

Lebih 900 hadirin daripada pemimpin perniagaan, pelabur, penggubal dasar dan ahli akademik dari Singapura dan Malaysia menyertai forum tersebut.

Ia turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Mengulas perkembangan JS-SEZ, Encik Gan menukil contoh salah sebuah syarikat berpangkalan di Singapura yang melabur di Johor.

Khususnya, syarikat teknologi pertanian Archisen, yang menandatangani MOU dengan syarikat di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, Southern Catalyst, pada September 2025 untuk menubuhkan sebuah hab pertanian moden seluas 200 ekar (81 hektar) di Sedenak, Johor.

Di samping itu, Encik Gan turut mengetengahkan bagaimana daya usaha JS-SEZ menawarkan lokasi unik untuk pelabur, dibina berdasarkan kekuatan pelengkap kedua-dua ekonomi Singapura dan Malaysia.

JS-SEZ adalah kerjasama antara Singapura dengan Johor Bahru untuk melengkapi satu sama lain bagi meningkatkan daya saing ekonomi secara keseluruhan.

“Bagi Singapura, JS-SEZ melengkapi usaha transformasi industri kami, memberi syarikat ruang untuk berkembang sambil terus berpaut pada ekosistem inovasi dan kewangan kami.

“Bagi Malaysia dan Johor, ia merupakan enjin berkuasa dalam menarik pelaburan baru, memupuk kerjasama teknologi dan membangun bakat yang penting.

“Bersama-sama, kita sedang membina ekosistem rentas sempadan yang menyokong pertumbuhan perusahaan, inovasi, dan penciptaan pekerjaan bermutu di kedua-dua pihak,” ujar beliau.

Semasa ucapannya, Tengku Zafrul pula berkongsi beberapa inisiatif dalam “mempercepatkan pelaburan berimpak tinggi” bagi kerjasama JS-SEZ, termasuk kelulusan lesen perkilangan dengan segera.

“Selepas berunding bersama Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam (13 Oktober), saya berbesar hati untuk mengumumkan semua projek perkilangan bagi industri tidak sensitif dalam sektor-sektor ekonomi yang dikenal pasti di Zon ini akan diberikan kelulusan pantas bagi Lesen Perkilangan (ML) dalam tempoh hanya tujuh hari bekerja.

“Surat Tiada Bantahan (NOL) daripada Kerajaan Negeri Johor untuk pengeluaran ML juga akan dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari bekerja,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Encik Gan menegaskan bahawa inisiatif JS-SEZ itu merupakan sesuatu yang unik, meskipun dalam suasana perdagangan sejagat yang perlahan.

“Dalam waktu ketika perdagangan global semakin perlahan dan tekanan fahaman perlindungan yang meningkat, JS-SEZ merupakan contoh kukuh tentang apa yang boleh dicapai oleh negara apabila mereka memilih kerjasama mengatasi persaingan, serta perkongsian mengatasi fahaman perlindungan,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg