Topic followed successfully
Go to BHkuKerajaan Johor contohi S’pura, tawar baucar makanan kepada 4,000 isi rumah
Kerajaan Johor contohi S’pura, tawar baucar makanan kepada 4,000 isi rumah
Lebih 4,000 isi rumah di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee terima baucar makanan RM200
Kerajaan Johor contohi S’pura, tawar baucar makanan kepada 4,000 isi rumah
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor melancarkan inisiatif perintis yang menawarkan baucar makanan RM200 ($64.50) kepada lebih 4,000 isi rumah di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee, Johor, dengan mengambil inspirasi daripada model pusat makanan Geylang Serai di Singapura.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata inisiatif dikenali sebagai Baucar Kasih Johor itu bukan saja bagi mengurangkan kos sara hidup penduduk, malah ia dapat menghidupkan semula pusat perniagaan komuniti tempatan.
Beliau berkata idea itu tercetus selepas lawatannya ke Geylang Serai pada 2025 dan melihat ekosistem itu berjaya menggabungkan makanan mampu milik, kebersihan serta pembabitan komuniti yang kukuh.
“Ia bukan sekadar tempat makan, tetapi berfungsi sebagai pusat komuniti. Kita mahu mencontohi konsep itu di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, di Iskandar Puteri, Johor, pada 5 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.
Projek perintis Baucar Kasih Johor fasa pertama sebelum diperluaskan ke semua 16 PBT di seluruh Johor ini adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup sambil memacu pertumbuhan ekonomi mampan.
Di bawah skim ini, ketua isi rumah yang layak akan menerima baucar RM200 yang boleh digunakan di gerai dalam pusat makanan berkenaan.
Inisiatif ini bertujuan memastikan rakyat mendapat akses kepada makanan pada harga berpatutan, selain mewujudkan persekitaran perniagaan kecil yang lebih tersusun dan moden.
Datuk Onn Hafiz berkata pemantauan dan penguatkuasaan ketat akan dilaksanakan, khususnya dari segi kebersihan, mutu makanan, harga dan perkhidmatan bagi memudahkan orang ramai.
“Jika berjaya, program ini akan diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negeri yang memberi manfaat kepada lebih ramai komuniti dan memperkukuh aktiviti ekonomi akar umbi,” katanya.
Dalam pada itu Datuk Onn Hafiz berkata Johor terus mencatatkan prestasi ekonomi memberangsangkan apabila hasil negeri mencecah RM1 bilion, setakat 30 April lalu.
Jumlah itu meningkat sebanyak RM307 juta berbanding tempoh sama pada 2025, sekali gus meletakkan negeri ini pada landasan kukuh untuk mencapai unjuran hasil pada 2026.
Datuk Onn Hafiz berkata kejayaan itu didorong oleh beberapa pencapaian utama negeri termasuk pelaburan tertinggi dalam sejarah negara yang bukan sahaja mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Johor, malah turut membuka puluhan ribu peluang pekerjaan baru kepada rakyat tempatan.
Beliau berkata kerajaan Johor juga terus memperkukuh komitmen terhadap kesejahteraan rakyat menerusi pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) fasa keempat dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM138 juta.
Jumlah peruntukan itu dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 600,000 Bangsa Johor di seluruh negeri itu.
Katanya, antara inisiatif utama, termasuk bantuan tunai RM200 kepada lebih 307,000 warga emas; RM200 kepada 136,000 suri rumah tidak bekerja serta RM400 kepada 45,000 pasangan yang baru berkahwin.
